SHAH ALAM – Dua beradik yang cuba melarikan diri sejauh 90 kilometer akhirnya berjaya ditahan selepas dikejar enam buah kenderaan peronda polis (MPV) di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, insiden itu tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi 17 saat yang menunjukkan detik penahanan mereka.
“Kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi apabila anggota MPV yang sedang membuat rondaan mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota polis kemudiannya mengarahkan kenderaan tersebut berhenti menggunakan siren dan pembesar suara, namun pemandunya bertindak memecut laju untuk mengelak pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Iqbal menjelaskan, usaha mengejar kenderaan suspek berlangsung hampir sejam sebelum berjaya dipintas di hadapan pintu pagar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Seksyen 9.
“Kita menahan dua lelaki berusia 18 dan 24 tahun. Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemui sebotol cecair hijau disyaki air ketum yang disorok di bawah tempat duduk penumpang hadapan sebelah kiri.
“Semakan mendapati suspek berusia 24 tahun mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah manakala adiknya tidak mempunyai sebarang rekod,” ujarnya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini,” katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor S Nawinthan di talian 016-2052314.