Jalur Gemilang terbalik: Sekolah perlu dikenakan tindakan tatatertib - GPMS

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kesilapan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah SJKC di Port Dickson.

SEREMBAN - Tindakan tatatertib yang bersesuaian perlu dikenakan terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson yang tersilap memasang Jalur Gemilang secara terbalik baru-baru ini.

Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Sembilan, Muhammad Hakim Mohd Zain berkata, tindakan itu bukannya bertujuan menghukum, sebaliknya sebagai mesej tegas bahawa kecuaian terhadap simbol negara tidak boleh dipandang ringan.

Iklan
Iklan

“Kami menegaskan bahawa tiada ruang untuk kompromi apabila maruah negara tergadai walau sesaat. Cukuplah insiden demi insiden menjadi berita harian, kini masanya untuk tindakan yang tuntas dan berprinsip,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, walaupun pihak sekolah telah menjelaskan bahawa kesilapan itu disebabkan kecuaian yang tidak disengajakan, selain telah memohon maaf secara terbuka, namun ia tidak boleh dijadikan penyelesaian mutlak terhadap kelalaian yang menyentuh maruah negara.

Iklan

Tambahnya, insiden seumpama itu bukanlah pertama kali berlaku dan lebih dikesalkan apabila ia terjadi dalam sektor pendidikan dan juga agensi kerajaan yang seharusnya menjadi contoh teladan dalam menjunjung simbol negara.

“Pengulangan kes sebegini jelas mencerminkan kegagalan struktur dan kelemahan sistemik dalam memupuk serta menerapkan nilai patriotisme yang benar-benar berakar dalam kalangan warga institusi.

Iklan

“Apa yang lebih membimbangkan, insiden ini berlaku di sebuah institusi pendidikan, tempat yang sepatutnya menjadi wadah utama untuk menyemai semangat kenegaraan dan jati diri bangsa,” katanya.

Selain itu, pihaknya menuntut agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan pengawasan ketat sewaktu pemasangan Jalur Gemilang, selari dengan garis panduan yang ditetapkan.

Tambahnya, KPM juga perlu melaksanakan modul patriotisme yang lebih konkrit kepada pentadbir sekolah, guru dan kakitangan sokongan agar semua pihak faham bahawa bendera bukan sekadar simbol fizikal, tetapi lambang maruah negara.

“GPMS Negeri Sembilan tetap berpegang bahawa patriotisme bukan hanya retorik di atas pentas tetapi perlu diterjemahkan dalam tindakan.

“Maruah Jalur Gemilang adalah cerminan jati diri rakyat Malaysia dan jangan biarkan insiden sebegini menjadi norma baharu yang dimaafkan tanpa sempadan,” katanya.