Harimau kumbang baham 10 ekor kambing masuk perangkap

Iklan
Harimau kumbang jantan berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan Perak dalam satu operasi di Jalong, Sungai Siput pada Isnin.

IPOH – Misteri kehilangan 10 ekor kambing di Kampung Jalong, Sungai Siput sejak Februari lalu terjawab apabila seekor harimau kumbang jantan berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak pada Isnin.

Haiwan pemangsa berusia enam tahun itu ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap yang dipasang oleh pihak jabatan berhampiran kandang kambing.

Iklan
Iklan

Keadaan itu nyata melegakan penternak kambing, Muhammad Zulhelmi Abdul Wahab, 28, yang berdepan kerugian sejak awal tahun ini.

Harimau kumbang ini dipercayai telah membaham ternakan penduduk sejak awal tahun ini.

Iklan

“Sebelum ini, kambing yang saya ternak berjumlah lebih 60 ekor, tetapi sejak awal tahun ini, semakin berkurangan dan kira-kira 10 ekor hilang. Jadi saya syak ada binatang buas yang makan.

“Sepanjang menternak kambing di sini, saya tidak pernah nampak kelibat harimau. Jadi, saya buat aduan kepada Perhilitan dan mereka memasang perangkap. Akhirnya, harimau kumbang itu masuk ke dalam perangkap,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Muhammad Zulhelmi mengakui mengalami kerugian kira-kira RM8,000 akibat kehilangan haiwan ternakan yang dipercayai dimakan harimau kumbang berkenaan.

Beliau juga berharap dengan kejayaan Perhilitan menangkap haiwan tersebut, tiada lagi kejadian ternakan hilang di kawasan itu.

Sementara itu, sumber Perhilitan memaklumkan mereka menerima aduan tentang kehadiran haiwan liar itu sejak Februari 2025 dan telah memasang perangkap sebelum akhirnya berjaya menangkap harimau kumbang terbabit.