SHAH ALAM - Tiga remaja yang tular dalam rakaman video didakwa memberi makanan berisi nasi bersama sisa tulang ayam kepada gelandangan, tampil memohon maaf atas tindakan mereka yang mengundang kecaman netizen.
Salah seorang remaja terbabit mendakwa bahawa mereka sebenarnya telah mendapat persetujuan daripada lelaki gelandangan itu untuk merakam video berbentuk eksperimen sosial.
"Pada hari ini, saya ingin memberi penjelasan berkenaan insiden tulang ayam. Disebabkan video itu, orang ramai menyangka kami memberi makan tulang ayam kepada gelandangan tersebut.
"Kami tidak memberikan tulang ayam kepadanya untuk dimakan. Pada mulanya, kami mengikuti lelaki gelandangan itu. Ia satu rancangan pembikinan video, dan kami kemudiannya memberikan set lengkap nasi dan dua ketul ayam kepadanya," katanya dalam satu hantaran pada Isnin.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi kurang seminit yang memaparkan tiga remaja sedang menikmati ayam goreng dari sebuah restoran makanan segera sebelum meletakkan tulang-tulang ke dalam bungkusan nasi dan dipercayai menyerahkannya kepada seorang lelaki gelandangan.
Wajah gelandangan terbabit kelihatan terkejut apabila membuka bungkusan tersebut, namun tetap mengucapkan terima kasih kepada pemberi.
Jelasnya, objektif mereka sejak awal adalah untuk membantu komuniti dan memberi kesedaran kepada masyarakat, sekali gus meminta bantuan lelaki gelandangan itu untuk turut serta dalam pembikinan video tersebut.
"Lelaki itu bersetuju dan kami berlakon bersama-sama, rakam video berkenaan dan memang betul-betul beri nasi lengkap dengan ayam, bukannya nasi bersama tulang ayam," ujarnya.
Justeru, remaja berkenaan merayu agar orang ramai memberi mereka peluang untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
"Kami harap anda memberi kami peluang yang lebih baik untuk membalas kepada masyarakat. Kami berjanji akan melakukan lebih banyak perkara baik, iaitu membantu gelandangan.
"Jadi, kami mohon maaf kepada semua," tambahnya.