Dua lelaki jalani hukuman PKM bersihkan Stadium Darul Aman

Iklan
Anggota penguatkuasa SWCorp memantau dua lelaki yang mengaku bersalah membuang sampah di tempat awam melaksanakan PKM di kawasan Stadium Darul Aman pada Jumaat.

ALOR SETAR – Dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia melaksanakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di kawasan Stadium Darul Aman dengan pemantauan pegawai Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah pada Jumaat.

Pengarah SWCorp Kedah, Shamsuharizal Basir berkata, kedua-dua pesalah berusia 39 tahun itu melaksanakan hukuman berkenaan susulan perintah mahkamah yang dikeluarkan sebelum ini kerana bersalah membuang sampah kecil di tempat awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, warga Indonesia, Jufri Zulkifli telah didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar kerana membuang puntung rokok di kawasan Menara Alor Setar.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM300 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar kepadanya, selain diperintahkan menjalani PKM selama enam jam dalam tempoh dua bulan.

Iklan

“Seorang lagi pesalah yang berasal dari Pulau Pinang merupakan warga tempatan, Lim Xiang Yong turut didapati bersalah atas kesalahan sama di Sungai Petani.

Anggota penguatkuasa SWCorp memantau dua lelaki yang mengaku bersalah membuang sampah di tempat awam melaksanakan PKM di kawasan Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Iklan

"Dia dijatuhi hukuman denda RM700 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar, serta diperintahkan menjalani PKM selama 10 jam dalam tempoh enam bulan,” katanya pada sidang akhbar selepas memantau proses hukuman PKM tersebut di sini.

Beliau berkata, pelaksanaan hukuman itu memberi mesej jelas bahawa tindakan pembetulan dilaksanakan secara tegas, tersusun dan berimpak.

Menurutnya, penguatkuasaan dilakukan tanpa kompromi dan tidak mengira kewarganegaraan dan mengingatkan semua pihak bertanggungjawab menjaga kebersihan awam.

“Sehingga kini sebanyak 159 kertas siasatan telah dibuka sejak 1 Januari, dengan 35 kes sudah mendapat tarikh sebutan di mahkamah. Selepas itu, PKM akan dilaksanakan secara berterusan.

“Nasihat saya kepada masyarakat, jangan membuang sampah kecil merata tempat. Tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah sama ada di tempat awam, luar kenderaan atau di mana sahaja,” tegasnya.

Shamsuharizal menambah, anggota SWCorp kini melaksanakan Op Cegah dengan melakukan penyamaran berpakaian preman di lokasi tumpuan bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan.