SHAH ALAM – Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia yang pertama kali diadakan sejak penubuhannya 13 tahun lalu, menghimpunkan seramai 800 penggerak dari seluruh negara pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, konvensyen tersebut bertujuan meraikan sukarelawan dan menyelaraskan visi serta hala tuju Rumah Ngaji untuk fasa yang seterusnya.
“Selepas 13 tahun, kita mahu melihat semula apa yang telah dicapai dan ke mana arah kita selepas ini. Ini peluang untuk semua penggerak berkumpul, ambil semangat dan perkuatkan misi bersama.
“Konvensyen kali ini membawa tema Legasi Kesatuan Ummah berteraskan surah al-Saff dan menghimpunkan penggerak Rumah Ngaji dari setiap negeri,” katanya pada Ahad.
Program itu berlangsung di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mengulas lanjut, Marhaini berkata, terdapat sebanyak 1,217 Rumah Ngaji yang aktif di seluruh negara yang digerakkan secara sukarela oleh individu dari pelbagai latar belakang.
“Kebanyakan penggerak berusia 30 tahun ke atas, malah ramai terdiri daripada golongan pesara yang terus menyumbangkan tenaga walaupun berusia 70 hingga 80 tahun.
“Kekuatan Rumah Ngaji terletak pada semangat sukarelawan yang sanggup bergerak tanpa mengharapkan bayaran demi manfaat komuniti setempat.
“Kita percaya Rumah Ngaji bukan sekadar tempat belajar al-Quran tetapi telah menjadi pusat transformasi komuniti sejak 13 tahun lalu,” katanya.
Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia terbuka kepada organisasi dan pihak luar yang berminat menjadikan Rumah Ngaji sebagai platform kerjasama program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Ramai juga yang bakal hadir untuk mengenal lebih dekat tentang Rumah Ngaji kerana mereka sedang mencari projek komuniti yang memberi impak,” ujarnya.
Beliau berharap konvensyen itu menjadi pemangkin untuk memperkukuh gerakan ‘Baca, Faham, Amal’ serta menyemarakkan peranan al-Quran dalam kehidupan masyarakat.