Industri gesa kerajaan tumpu isu vape haram

Iklan
Pemain industri menggesa kerajaan memberi tumpuan serius terhadap lambakan produk vape haram dan tiruan di pasaran. - Gambar hiasan, gambar kecil: Shahabudeen

KUALA LUMPUR – Pemain industri peranti rokok elektronik atau vape menggesa kerajaan memberi tumpuan serius terhadap lambakan produk vape haram dan tiruan di pasaran.

Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil berkata, masalah utama yang wajar diberi keutamaan ketika ini ialah lambakan produk vape haram dan tiruan yang berleluasa di pasaran.

Iklan
Iklan

"Produk ini tidak mematuhi piawaian keselamatan, tidak dikenakan cukai serta membawa risiko kesihatan yang lebih tinggi kepada pengguna, selain menyebabkan kehilangan hasil negara.

"Nanostix menyeru kerajaan agar mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap produk haram dan tiruan, selain mempercepatkan penubuhan sebuah badan pengawal selia khusus bagi industri vape di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, katanya, pendekatan kawalan melalui pelaksanaan cukai dan penguatkuasaan adalah lebih wajar berbanding larangan menyeluruh yang hanya merugikan banyak pihak.

"Kami menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menyatakan hasrat kerajaan untuk memperluaskan pelaksanaan Cukai Pro-Kesihatan ke atas produk vape.

Iklan

"Walaupun ia dijangka memberi kesan terhadap harga dan operasi pengeluar, kami percaya ia merupakan satu langkah kawalan yang lebih progresif dan inklusif berbanding larangan menyeluruh," ujarnya.

Menurutnya, kekeliruan dasar turut timbul apabila terdapat perbezaan pendekatan antara kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri yang telah mengambil langkah untuk mengharamkan penjualan vape.

"Dasar yang tidak sepadan ini bukan sahaja mengelirukan pengguna, malah menyulitkan pengusaha industri serta menyukarkan pelaburan dan perancangan jangka panjang.

"Isu berkaitan rokok elektronik perlu ditangani menerusi pendekatan menyeluruh, diplomatik dan berasaskan data saintifik," katanya.

Shahabudeen berkata, larangan menyeluruh bukan sahaja mengancam ribuan usahawan serta syarikat tempatan yang beroperasi secara sah dan bertanggungjawab, malah hanya akan membuka ruang lebih luas kepada pasaran gelap.

"Sebagai pengeluar yang komited terhadap amalan beretika dan pematuhan piawaian, pihak kami bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kualiti produk terpelihara.

"Kami menyokong penuh sebarang inisiatif kawalan yang bukan sahaja melindungi kesihatan awam tetapi juga memelihara kelangsungan industri tempatan yang sah dan bertanggungjawab," katanya.

Pada 28 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad memaklumkan pihaknya mempertimbangkan larangan penuh penjualan dan penggunaan vape serta rokok elektronik, namun memerlukan beberapa pertimbangan seperti implikasi undang-undang, penguatkuasaan dan kesihatan awam.

Beberapa kerajaan negeri telah mengambil langkah pengharaman penuh penjualan vape, antaranya Perlis, Terengganu, Kedah dan Pahang. Johor dan Kelantan pula menguatkuasakan larangan tersebut masing-masing sejak 2016 dan 2015.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 pada Jumaat lalu berkata, kerajaan akan memperluaskan cukai prokesihatan kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol bagi membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu menunjukkan ketegasan kerajaan dalam menangani risiko kesihatan.