IPOH - [DIKEMAS KINI] Perak merekodkan lima kes kelesuan haba sejak bermulanya musim cuaca panas pada Mei lalu, melibatkan anggota tentera yang terlibat dalam latihan medan ketenteraan di kawasan hutan Sungai Siput dan Sauk, Kuala Kangsar.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, kesemua kes membabitkan lelaki berusia antara 22 hingga 39 tahun itu berlaku ketika menyertai Eksesais Keris Strike 2025 pada 27 Julai lalu.
Katanya, simptom yang dialami mangsa termasuk hampir pitam, pening, loya dan keletihan, namun tiada kes sawan atau gejala neurologi direkodkan.
“Mangsa terlibat telah dimasukkan ke wad Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan dan pemantauan. Tiada yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penyerahan Faedah Insurans Pekerjaan dan Mini Karnival Kerjaya MyFutureJobs di Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perak, di sini pada Isnin.
Tambahnya, semua anggota telah berada di dalam hutan selama hampir tiga hari berturut-turut sebelum kejadian berlaku dan menjalani latihan sehingga waktu tengah hari dalam keadaan cuaca panas.
“Pasukan perubatan tentera yang bertugas di Regiment Aid Post (RAP) telah memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum mereka dibawa keluar menggunakan ambulans tentera ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Kangsar,” katanya.
Menurut Sivanesan, insiden berkenaan telah dimaklumkan kepada Unit Kawalan Penyakit Berjangkit (KPAS) Daerah Kuala Kangsar dan negeri untuk verifikasi, selain pemantauan berterusan oleh Bilik Gerakan PKD Kuala Kangsar.
“Selain kes ini, tiada kes baharu lain yang direkodkan,” katanya.