Lelaki Indonesia mengamuk maut selepas ditahan

Iklan
Mohd Alwi (kanan) pada sidang akhbar di Stor Barang Kes Berpusat Kontinjen Seberang Perai Utara, Butterworth pada Isnin.

BUTTERWORTH- Seorang lelaki warga Indonesia yang bertindak agresif dan menimbulkan kekecohan di Taman Bukit Jambul disahkan meninggal dunia selepas ditahan polis dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek yang tidak mempunyai sebarang dokumen itu didapati pengsan di Balai Polis Sungai Nibong sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang menggunakan ambulans namun disahkan telah meninggal dunia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum itu polis menerima laporan mengenai seorang lelaki mengamuk dengan memegang sebatang besi di Blok D, tingkat 13 di perumahan tersebut pada jam 6.20 petang.

"Selepas menerima laporan, polis telah bergegas ke lokasi kejadian. Ketika polis cuba menahannya, suspek telah bertindak agresif dengan menumbuk muka dan belakang kepala anggota polis selain cuba merampas senjata api.

Iklan

"Polis turut dibantu beberapa orang awam yang berada berdekatan lokasi kejadian. Suspek kemudiannya berjaya ditahan lalu dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Stor Barang Kes Berpusat Kontinjen Seberang Perai Utara, di sini pada Isnin.

Tambah Mohd Alwi, sebelum ditahan, polis menerima dua laporan mengenai dua insiden melibatkan suspek iaitu memecahkan cermin kereta penduduk serta menceroboh masuk ke salah sebuah rumah penduduk di flat berkenaan.

Iklan

"Ketika di balai polis, suspek tiba-tiba pengsan lalu dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan semalam mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana serangan jantung," katanya.

Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Mohd Alwi berkata, polis masih menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes seorang lelaki bergelar Datuk yang disyaki mencederakan seorang jurujual wanita menggunakan objek menyerupai grip pistol dalam kejadian di Jalan Kelawai, George Town pada 1 Jun lalu.

"Siasatan terhadap kes itu telah selesai dan kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak TPR sebulan lalu untuk tindakan lanjut," katanya.