Paip bocor punca mendapan di Jalan Batu Lima, laluan ditutup sementara

Iklan
Jalan Batu Lima, Kuala Ketil yang berlaku mendapan akibat kebocoran paip.

BALING - Kebocoran paip di Jalan Batu Lima, Kuala Ketil, di sini pada Sabtu, mengundang risiko keselamatan apabila menyebabkan mendapan tanah serius sehingga jalan tersebut terpaksa ditutup sepenuhnya buat sementara waktu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Amirul berkata, kejadian itu disedari sekitar jam 9 malam apabila terdapat pengguna yang melalui jalan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya dihubungi rakan yang memaklumkan kejadian itu. Susulan itu, kawan-kawan lain secara sukarela membantu mengawal laluan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Saya bersama beberapa orang terus ke balai polis untuk meminta bantuan.

"Jalan itu kelihatan seperti mahu terbelah dua... aliran air sangat banyak dan berlaku mendapan tanah. Jika ada kenderaan yang lalu, berisiko tinggi untuk berlaku tanah runtuh atau kenderaan terbabas," katanya.

Iklan

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Datuk Mohammad Yusof @ Munir Zakaria berkata, Jalan Persekutuan Sungai Petani–Baling ditutup sepenuhnya sebagai langkah kecemasan selepas mendapan serius dikesan.

"Permukaan jalan didapati tidak lagi stabil dan membahayakan semua jenis kenderaan. Pihak konsesi bersama Jabatan Kerja Raya telah memasang peralatan kawalan trafik serta menyediakan makluman laluan alternatif kepada pengguna dari arah Sungai Petani dan Kulim," katanya.

Iklan

Beliau memaklumkan, pengguna dari arah Sungai Petani dan Kulim dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui (Kulim–Kupang–Gerik) menerusi Padang Geh dan Kampung Besah. Manakala pengguna dari arah Kupang dan Baling perlu membuat lencongan melalui jalan di Simpang 4 Batu, Tawar.

Dalam masa sama, katanya, sebanyak 700 akaun pengguna terjejas termasuk di kawasan Batu Lima, Taman Melati, Binjul Luar, Kejai, Bakai dan beberapa kawasan berhampiran berikutan kebocoran paip dari bawah permukaan jalan yang menyebabkan jalan mendap serta tidak selamat dilalui.

"Siasatan awal oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) Wilayah Timur mendapati kebocoran berlaku pada paip jenis PVC bersaiz 300 milimeter.

"SADA telah menutup bekalan air di lokasi kebocoran dan memasang penutup logam sementara sebagai langkah keselamatan sebelum kontraktor menjalankan kerja-kerja pembaikan," katanya.

Menurut beliau, bekalan air akan disambung semula secara berperingkat dan lori tangki telah digerakkan untuk membantu pengguna yang terjejas.

Tambahnya, pasukan teknikal SADA masih berada di lokasi kejadian bagi memastikan kerja pembaikan berjalan lancar dan sistem bekalan dapat dipulihkan secepat mungkin.