24 hektar hutan Felda Sungai Buaya terbakar, bomba teruskan pemadaman

Iklan
Kebakaran melibatkan kawasan seluas 24.28 hektar di Jalan Kiambang Sari 1, Felda Sungai Buaya, sejak petang Sabtu.

RAWANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor masih giat menjalankan operasi memadam kebakaran hutan di Jalan Kiambang Sari 1, Felda Sungai Buaya, sejak petang Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 24.28 hektar, dengan 23.47 hektar berjaya dipadamkan, manakala baki 0.81 hektar masih dalam usaha kawalan.

Iklan
Iklan

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.36 petang sebelum menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa ke lokasi kejadian, dengan bantuan BBP Rawang.

Kerja-kerja pemadaman terus dijalankan namun keadaan muka bumi berbukit serta tiupan angin kuat menyukarkan operasi.

Iklan

“Setibanya di lokasi kira-kira jam 6.47 petang, komander operasi mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan yang luas dengan api sedang marak.

"Kerja-kerja pemadaman terus dilakukan, namun faktor muka bumi berbukit dan tiupan angin kuat menyukarkan operasi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurut beliau, operasi disertai tujuh anggota menggunakan dua jentera, iaitu satu jentera ringan (CFRT) dan satu kenderaan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

Kerja-kerja pemadaman diteruskan secara berhati-hati bagi mengelakkan api kembali marak.

“Pemantauan diteruskan sepanjang malam bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan lain. Kerja-kerja pemadaman dijalankan secara berhati-hati untuk mengelakkan api kembali marak.

“Tiada mangsa dilaporkan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.