PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi tempoh sehingga 8 Ogos ini kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menghentikan perangnya terhadap Ukraine yang dilancarkan pada 8 Ogos 2022.
Sekiranya menjelang tarikh tersebut, Moscow tidak mengumumkan gencatan senjata, sekatan ekonomi lebih menyeluruh dan keras akan dikenakan terhadap Rusia.
Sekatan juga akan disasarkan terhadap negara yang membeli barangan terutama minyak dari Rusia.
Sebelum itu Trump juga telah buat keputusan membekalkan semula senjata diperlukan Ukraine untuk menghadapi serangan Rusia melalui negara-negara Eropah yang bernaung di bawah Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Senjata itu bukan diberi percuma tetapi pembeliannya dibiayai negara-negara NATO.
Sebagai persiapan bagi menghadapi apa juga kemungkinan, Trump semalam mengumumkan dua kapal selam bersenjata nuklear milik AS telah digerakkan ke kawasan berhampiran Rusia.
Kali ini nampaknya Trump tidak main-main dalam gertakan terhadap Moscow.
Kesungguhannya untuk Rusia menguatkuasakan gencatan senjata terhadap Ukraine membawa maksud AS bersedia mempertaruhkan kekuatan militernya termasuk penggunaan senjata nuklear jika diperlukan.
Trump juga mengancam mengenakan kadar tarif sehingga 500 peratus terhadap eksport Rusia ke AS jika batas waktu 8 Ogos mengadakan gencatan senjata tidak dipatuhi.
Objektif tindakan tambahan itu bertujuan melumpuhkan ekonomi Rusia.
Dengan itu, kantung Rusia untuk membiayai tindakan ketenteraan terhadap Ukraine kekeringan dan Moscow tiada pilihan kecuali ke meja rundingan bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan selama tiga tahun setengah. Keadaannya tentulah tidak semudah itu.
Sehingga kini Putin belum lagi memperlihatkan sebarang respons terhadap ultimatum diberi oleh Trump.
Sebaliknya, beliau memperhebatkan serangan terhadap Ukraine, boleh dikatakan setiap malam sejak ugutan terbaharu Trump itu diumumkan semasa beliau mengadakan lawatan tidak rasmi sambil bermain golf ke Scotland hujung minggu lalu.
Ibu negara Ukraine, Kyiv turut menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu Rusia kali ini.
Dengan kata lain, Trump mendapati memulas ‘tangan dan telinga Putin’ untuk Rusia mengadakan gencatan senjata tidaklah semudah seperti Trump memulas ‘tangan dan telinga’ pemangku Perdana Menteri Thailand serta Perdana Menteri Kemboja.
Dengan satu panggilan telefon kepada kedua-dua pemimpin, dua negara berjiran yang berhari-hari menyerang satu sama lain, Trump berjaya membawa mereka ke meja rundingan di Kuala Lumpur.
Tanpa banyak bicara mereka serta-merta bersetuju mengadakan gencatan senjata.
Senjata digunakan Trump ialah tarif. Beliau menggertak Thailand dan Kemboja jika memilih untuk terus berperang serta tidak bersetuju mengadakan gencatan senjata, AS akan mengenakan tarif tinggi terhadap eksport kedua-dua negara ke pasaran AS.
Kerana dua negara itu mendengar cakap, tarif dikenakan hanyalah 19 peratus berbanding 36 peratus atau lebih tinggi sebelum itu.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN yang bertindak sebagai pemudah cara dalam perbincangan dua negara itu turut diberi ganjaran penurunan tarif – dari 25 peratus kepada 19 peratus.
Namun, Putin menggunakan bidalan bahasa Inggeris – a hard nut to crack.
Hal itu kerana Moscow menganggap dirinya dari segi militer sekurang-kurangnya setanding dengan kekuatan AS. Seperti Washington, Moscow mempunyai bekalan senjata nuklear yang besar.
Peluru berpandu jarak jauh Rusia juga boleh sampai ke bandar-bandar utama di AS.
Eropah Barat juga dengan mudah boleh dimusnahkan oleh peluru berpandu Rusia.
Sekiranya AS boleh menggerakkan kapal selam lengkap senjata nuklear berhampiran Rusia, Moscow juga boleh menggerakkan kapal selamnya ke kawasan perairan berhampiran AS.
Malah, dalam perang terhadap Ukraine, Rusia beranggapan ia sebenarnya berdepan kekuatan NATO yang selama ini banyak menghulurkan bantuan persenjataan dan bukan persenjataan yang membolehkan rejim Ukraine bertahan.
Tanpa dukungan NATO, Ukraine sebenarnya sudah lama tumbang kepada Rusia.
Justeru bagi Putin, dalam perangnya terhadap Ukraine prinsipnya alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan.
Trump dan Putin sebenarnya sedang beradu kekuatan dalam perang di Ukraine. Kemungkinan tercetus perang nuklear semakin menjadi kenyataan.
*Dr Chamil Wariya ialah Pengarah VOA MEDIA NETWORK, penyedia kandungan faktual