Jangan jadikan KWSP medan uji dasar kerajaan - Gerakan

Iklan
Gerakan menegaskan kerajaan tidak wajar menjadikan KWSP sebagai medan uji dasar apabila mencadangkan penyusunan semula caruman. Foto hiasan

SHAH ALAM – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menegaskan bahawa kerajaan tidak wajar menjadikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai medan uji dasar apabila mencadangkan penyusunan semula caruman.

Naib Presidennya, Datuk Baljit Singh berkata, KWSP merupakan hasil titik peluh rakyat dan bukan hak kerajaan untuk menentukan bagaimana ia perlu digunakan atau diagihkan.

Iklan
Iklan

“Ini bukan duit kerajaan, ini duit rakyat. Apa-apa usaha untuk mewujudkan skim pencen tanpa persetujuan penuh ahli akan menjadikan rakyat mangsa kepada satu lagi eksperimen dasar dari atas ke bawah.

“Kerajaan sepatutnya membentuk dasar berasingan untuk skim pencen secara sukarela dan bukan menyusun semula struktur KWSP yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, sebarang dasar besar yang memberi kesan kepada jaminan persaraan rakyat perlu dibincangkan secara telus dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu, dan bukan diumum serta dilaksanakan tanpa rundingan terbuka.

“Kerajaan Madani berulang kali mengulangi kesilapan yang sama. Daripada mekanisme subsidi diesel hinggalah pembaharuan pendidikan, semua dilakukan tanpa libat urus yang menyeluruh. Kelemahan tadbir urus ini tidak boleh diteruskan,” katanya.

Iklan

Justeru, Gerakan menggesa kerajaan supaya menghentikan sebarang idea untuk menyusun semula atau menggunakan dana KWSP, lebih-lebih lagi ketika sebahagian besar penyumbang masih berdepan simpanan persaraan yang tidak mencukupi.

“Sebagai contoh, pada tahun 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mendedahkan bahawa 51 peratus ahli KWSP berumur bawah 55 tahun, iaitu seramai 6.7 juta orang, mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengambil teladan daripada negara jiran seperti Thailand yang memperkenalkan Dana Pencen Nasional pada 2025 bagi menyokong pekerja sektor formal.

“Dana itu diwujudkan secara berasingan daripada tabung simpanan persendirian dan ia bersifat sukarela buat majikan, sekali gus melindungi simpanan persaraan peribadi daripada campur tangan kerajaan,” katanya.

Baljit turut memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak lagi membuat pusingan-U terhadap dasar-dasar penting, terutamanya yang melibatkan masa depan kewangan rakyat.

“Dasar yang menyentuh jangka hayat kewangan rakyat memerlukan ketetapan dan kejelasan, bukan ketidakpastian,” katanya.

Sementara itu, KWSP dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum akan pertimbangan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkenalkan skim bayaran pencen bulanan bagi ahli KWSP.

Menurutnya, cadangan itu masih dalam peringkat penelitian dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan serta pertimbangan terhadap kepentingan jangka panjang ahli.

KWSP menegaskan bahawa sebarang pendekatan perlu memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dan dilakukan secara telus serta inklusif.