SETIU – Cuaca cerah sejak awal pagi seolah-olah memberi sinar kepada Mohd Amir Hadi, 38, dari Wakaf Tengah, Terengganu apabila dinobatkan sebagai juara Jelajah Joran Pantai Timur (JJPT) di Pantai Rhu Sepuluh di sini pada Sabtu.
Dia menaikkan ikan ebek seberat 2.1 kilogram (kg), dua minit sebelum pertandingan tamat sekali gus muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Tempat kedua disandang oleh Mohd Nor Azhari, 39, dari Batu Rakit, Terengganu yang membawa pulang RM1,000 selepas menaikkan ikan todak seberat 1.3kg.
Sementara itu, Mohd Hafiz Hanifah, 32, yang juga dari Terengganu menduduki tempat ketiga apabila menaikkan ikan todak seberat 1.275kg dan memenangi RM500.
Hadiah kepada kesemua pemenang disampaikan oleh Penolong Setiausaha West Coast Surfcaster, Norhanis Amat.
Mohd Amir berkata, dia berpuas hati muncul juara buat kali pertama selepas bergelar pemancing sejak sekian lama.
“Cuaca cerah sejak awal pagi seolah-olah memberi petanda bahawa rezeki akan menjadi milik saya hari ini. Meskipun berusaha sejak awal pertandingan, tiada ikan yang sudi memakan umpan saya.
“Saya hampir berputus asa apabila masa pertandingan hampir tamat. Saya tukar umpan buat kali terakhir dan alhamdulillah dua minit sebelum masa sebenar tamat, saya berjaya menjinakkan ikan ebek ini,” katanya.
Sementara itu, Norhanis berkata, beliau berpuas hati dengan penyertaan kali ini apabila lebih 450 peserta mengambil bahagian dan walaupun kebanyakannya dari Terengganu, peserta dari Pahang, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka juga turut serta.
“Sokongan daripada Tourism Malaysia terutamanya bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 menjadi kunci kepada kejayaan penganjuran kali ini. Insya-ALLAH JJPT siri 3 akan diadakan selepas ini di Pantai Sepat, Kuantan pada Oktober ini,” katanya.