KOTA BHARU – Program Madani Rakyat (PMR) yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini minggu depan bukan sekadar karnival kementerian turun padang, sebaliknya menjadi platform dialog terbuka antara kerajaan dan rakyat bagi mencari penyelesaian isu tempatan secara langsung.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata, program itu memperkenalkan perkhidmatan agensi kepada orang awam dan turut membuka ruang untuk kerajaan mendengar sendiri keperluan serta aspirasi masyarakat setempat.
“PMR diadakan untuk kami sampaikan maklumat kepada rakyat dan juga mendengar suara rakyat dari peringkat akar umbi.
“Inilah medan sebenar untuk kerajaan menjawab soalan rakyat secara terus dalam suasana santai dan penuh kemeriahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kita Madani X PMR, Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Sekolah-Sekolah di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, pelaksanaan PMR 2025 kali keenam itu bertemakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Untuk Kesejahteraan Rakyat yang dirangka berkonsepkan karnival serta penyampaian perkhidmatan, meliputi lapan komponen teras bagi memberikan manfaat khusus secara langsung kepada rakyat.
“Ini satu iltizam Kerajaan Madani untuk memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam arus pembangunan negara.
“Kami jangkakan 25,000 pengunjung akan hadir pada program kali keenam yang dianjurkan oleh Pengarah Jabatan Penerangan,” katanya.
PMR di Kelantan akan berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos ini dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program ini merupakan inisiatif kerajaan untuk mendekatkan perkhidmatan awam terus kepada rakyat dengan pendekatan menyeluruh, merangkumi kesejahteraan sosial, pembangunan modal insan dan keterlibatan komuniti.
PMR juga menampilkan pelbagai pengisian seperti perkhidmatan langsung daripada kementerian dan agensi, reruai pameran pencapaian kerajaan, aktiviti pentas utama serta pelbagai bentuk bantuan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, diskaun barangan keperluan dan kaunter saman PDRM.
Sementara itu, Nik Kamaruzaman memberitahu, melalui Karnival Kita Madani, pelbagai aktiviti santai dan mesra rakyat seperti gotong-royong atau Bakti Komuniti Madani, pertandingan mewarna, gubahan, sukan rakyat, kenduri rakyat, Bintang Patriotik, Seloka Bersahut dan persembahan dikir barat turut diadakan.