SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor mencadangkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menganjurkan taklimat khas berhubung pelarasan tarif air kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT), peniaga dan pemimpin komuniti bagi meningkatkan kefahaman serta kesedaran pengguna.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, usaha ke arah kesedaran penggunaan air secara cekap turut melibatkan PBT dan agensi kerajaan yang boleh menjalankan program pendidikan pengguna di semua peringkat.
"Air Selangor dicadangkan untuk menganjurkan taklimat dan kursus kepada PBT, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan komuniti.
"Kempen kesedaran ini penting supaya mesej penggunaan air secara bijak ini dapat disampaikan secara lebih meluas termasuk di sekolah serta menerusi kerjasama dengan Jabatan Penerangan,” katanya ketika ditemui selepas Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor di Pantai Redang, Sekinchan di sini pada Sabtu.
Menurut Suee Lim, elemen penjagaan air perlu dimasukkan dalam kempen alam sekitar kerana isu pembaziran air turut memberi kesan langsung kepada kelestarian sumber semula jadi.
“Sekarang ini kita masih di peringkat cadangan, tapi saya akan minta Air Selangor supaya laksana secara berkala, mungkin setahun beberapa kali untuk kepentingan masa depan,” katanya.
Mengulas lanjut, Suee Lim menjelaskan, pelarasan air bukan dibuat secara bersendirian di Selangor sahaja, tetapi dilaksanakan secara menyeluruh oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) merangkumi semua negeri.
“Selangor mengambil pendekatan menyertai pelaksanaan ini, namun masih mengekalkan inisiatif bantuan air percuma seperti Skim Air Darul Ehsan (SADE) kepada golongan memerlukan.
"Kita juga menambah lagi bilangan penerima untuk memastikan mereka tidak terkesan dengan kenaikan tarif air,” katanya.
Menurut beliau, pelarasan tarif air memberi kesan kepada pengguna dan premis komersial yang menggunakan air dalam kuantiti besar.
“Saya ingin menyeru semua penduduk di negeri ini supaya menjadi pengguna bijak dan berhemah.
"Jangan dibiarkan air mengalir tanpa kegunaan, seperti ketika mencuci kenderaan atau ketika mandi kerana sifat boros ini perlu dihentikan,” jelas beliau.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut agresif dalam usaha menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) termasuk menukar beratus kilometer paip lama.
“Penurunan kadar NRW ini membolehkan kita menjimatkan bekalan air dan memastikan kelangsungan bekalan terutama ketika musim kemarau.
“Sedikit kenaikan tarif ini adalah untuk menampung kos operasi yang semakin meningkat dan demi kebaikan rakyat dalam jangka panjang,” ujar beliau.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, pengguna domestik di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menggunakan air antara 20 hingga 35 meter padu (m³) sebulan akan mengalami kenaikan tarif air sebanyak RM0.30, menjadikan kadar baharu RM1.62 setiap meter padu bermula 1 September ini.
Pengguna bukan domestik seperti premis komersial turut diselaraskan kepada kadar baharu RM3.51 per m³ (bawah 35 m³) dan RM3.83 per m³ (lebih 35 m³), peningkatan sebanyak RM0.57.