PASIR GUDANG– Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan membuat panggilan telefon rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja bagi menyatakan kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dengan Kemboja pada Sabtu.
Naib Presiden UMNO itu berkata, panggilan berkenaan merupakan langkah awal sebelum diadakan sidang video tiga hala antara ketiga-tiga Menteri Pertahanan.
“Saya akan telefon Menteri Pertahanan Thailand dan Cambodia terlebih dahulu untuk maklumkan bahawa Malaysia bersedia menjadi tuan rumah.
"Kemudian kita akan adakan 'zoom meeting' bersama bagi menentukan perkara-perkara utama yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat rasmi nanti,” katanya.
Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian pada sidang akhbar selepas Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar di sini pada Sabtu.
Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, mesyuarat rasmi sempadan antara Thailand dan Kemboja dijangka berlangsung pada minggu depan.
"Sebelum pertemuan di peringkat menteri diadakan, pegawai-pegawai kanan ketiga-tiga negara iaitu Malaysia, Kemboja dan Thailand. akan mengadakan rundingan awal.
"Rundingan awal ini dijadual berlangsung di Wisma Perwira, Kuala Lumpur," katanya.
Sebelum itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan akan memudah cara Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dengan Kemboja di Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Ogos ini.
Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat GBC itu diadakan bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara dua negara, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Malaysia pada 28 Julai lepas.
Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah malam, 28 Julai, dicapai menerusi mesyuarat khas di Malaysia, yang membawa kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu ke meja rundingan di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak.
Mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, menyaksikan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersama-sama bersetuju terhadap perjanjian gencatan senjata selepas beberapa minggu ketegangan meningkat.
Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditandai secara rasmi itu telah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara, yang beberapa kali mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan diplomatik.
Ketegangan memuncak pada 28 Mei apabila berlaku pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear, menyebabkan seorang tentera Kemboja terkorban.