AKITA – Seorang nenek berusia 73 tahun cedera parah selepas diserang seekor beruang ketika membuang sampah di luar sebuah pusat jagaan sosial di wilayah Akita, utara Jepun.
Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan segera dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat serangan tersebut.
Jurucakap polis tempatan berkata, pihaknya menemui wanita itu dalam keadaan terbaring di pintu masuk pusat berkenaan dan hasil siasatan awal mendapati kecederaan yang dialaminya dipercayai akibat serangan beruang.
“Rakaman kamera litar tertutup di luar pusat berkenaan menunjukkan seekor haiwan, dipercayai beruang, menyerang mangsa ketika dia berjalan sambil membawa sesuatu yang kelihatan seperti beg sampah,” katanya dipetik daripada AFP.
Mangsa yang masih tidak sedarkan diri ketika dihantar ke hospital juga tidak dapat bercakap ekoran kecederaan parah yang dialaminya.
Menurut data kerajaan Jepun, sehingga Mac 2025 sebanyak 85 kes serangan beruang dilaporkan di seluruh negara, termasuk tiga kes kematian.
Pada tahun 2024 sebanyak 219 serangan direkodkan dengan enam kematian.
Susulan peningkatan insiden itu, pihak berkuasa wilayah Akita minggu lalu melanjutkan tempoh amaran berjaga-jaga beruang sehingga September berikutan kekerapan penampakan haiwan liar tersebut di kawasan penempatan penduduk.
Penduduk dinasihatkan mengambil langkah pencegahan asas dan meningkatkan kewaspadaan ke tahap tertinggi.