SHAH ALAM - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan sekadar lanjutan kepada pelan sebelumnya, tetapi turut menampilkan pendekatan yang lebih anjal dan menyeluruh untuk menghadapi cabaran semasa serta masa hadapan.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, RMK13 adalah pelan yang dirangka berdasarkan teras Kerangka Ekonomi Madani yang menjadi dasar utama negara di bawah pentadbiran semasa.
Menurutnya, meskipun RMK13 kelihatan lebih padat dan menyentuh lebih banyak aspek berbanding RMK12, hal ini bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan keperluan negara yang semakin kompleks.
“Pandangan awal saya ialah RMK13 telah digubal untuk menjadikan teras Kerangka Ekonomi Madani sebagai asasnya dan pada masa yang sama cukup anjal untuk mendepani sebarang ketidaktentuan yang datang daripada faktor luaran dan dalaman dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Malaysia perlu terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah ekonomi terbuka dan kompetitif di rantau ini. Walaupun tumpuan utama RMK13 adalah lebih banyak daripada RMK12, ini disebabkan oleh keperluan dan hasrat negara untuk terus berdaya saing dan mampan bagi tahun-tahun mendatang. Oleh itu, mempelbagaikan strategi ekonomi adalah satu kemestian,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Ahmed Razman, dalam RMK13, pelbagai sasaran telah ditetapkan melibatkan pembangunan ekonomi, pemerkasaan rakyat, serta penyediaan infrastruktur dan kebajikan sosial.
Beliau berpandangan tidak semua sasaran itu mudah dicapai, bagaimanapun, Ahmed Razman optimis dengan pelaksanaan sistem pemantauan berkesan, sasaran-sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai.
“Sistem pemantauan MyRMK akan memastikan bahawa sebarang campur tangan boleh dilakukan secara berstruktur untuk memastikan sasaran tersebut dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata, salah satu perbezaan ketara antara RMK13 dan rancangan-rancangan sebelumnya ialah pendekatan pelaksanaan berasaskan pemantauan dinamik.
Katanya, MyRMK bukan sahaja berfungsi sebagai mekanisme pelaporan, tetapi juga membolehkan penggubal dasar membuat pelarasan berdasarkan data dan situasi semasa.
“Perbezaan RMK13 dengan RMK12 adalah dari segi pemantauan melalui MyRMK.
“Penting untuk kita faham pelan pembangunan seperti RMK13 bukan milik kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab kolektif semua lapisan masyarakat,” ujarnya.