KETUA Eksekutif Liga Perdana Inggeris (EPL), Richard Masters, menolak cadangan untuk mengurangkan jumlah pasukan daripada 20 kepada 18, di sebalik tekanan semakin memuncak terhadap jadual perlawanan antarabangsa yang padat.
Keputusan itu diumumkan menjelang sepak mula musim baharu liga pada 15 Ogos ini, yang akan membuka tirai kepada tempoh 11 bulan aksi kompetitif, sebelum ditutup dengan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat pada 19 Julai tahun depan.
Musim kali ini bermula hanya tiga minggu selepas Chelsea menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) untuk menjuarai Piala Dunia Kelab, serta dua minggu selepas tamatnya siri perlawanan pramusim.
Pemain tengah Manchester City, Rodri, sebelum ini pernah meluahkan kebimbangan serius pada tahun lalu, dengan menyatakan para pemain hampir melancarkan mogok susulan peningkatan mendadak jumlah perlawanan setiap musim.
Namun begitu, walaupun liga utama lain seperti Bundesliga (Jerman) dan Ligue 1 (Perancis) telah mengurangkan jumlah pasukan mereka kepada 18 bagi musim 2023/24, Masters menegaskan bahawa EPL tidak akan mengikut langkah tersebut.
“Saya tidak fikir kami harus dipaksa membuat keputusan seperti itu.
“Saya menyokong perkembangan bola sepak serta penyertaan kelab dalam kejohanan menarik, tetapi bukan dengan mengorbankan bola sepak domestik,” tegas beliau.
Ketegangan ini berpunca daripada ketidakpuasan hati pelbagai pihak terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), yang dikatakan gagal mendapatkan maklum balas sewajarnya sebelum melaksanakan penambahan kejohanan antarabangsa.
Pengembangan Piala Dunia Kelab kepada 32 pasukan serta Piala Dunia 2026 yang bakal melibatkan 48 negara turut mencetuskan bantahan daripada kesatuan pemain global, FIFPRO.
Malah, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) turut memperluas tiga kejohanan kelab utama Eropah sejak musim lalu, sehingga menyebabkan pelbagai kesan langsung terhadap jadual pertandingan domestik di England.
Sebagai contoh, pusingan ulangan Piala FA telah dimansuhkan, manakala pusingan ketiga Piala Liga kini terpaksa dijadualkan dalam dua minggu pertengahan September.
“Masih terlalu awal untuk menilai kejayaan format baharu ini, tetapi bukan tugas saya untuk menentukan sama ada kejohanan seperti Piala Dunia Kelab berjaya atau tidak.
“Tugas saya adalah untuk memastikan ia tidak menjejaskan struktur dan jadual pertandingan domestik seperti Liga Perdana Inggeris,” kata Masters.
Beliau turut menambah bahawa EPL kekal dengan format 20 kelab dan 380 perlawanan sejak musim 1994-95.
“Kini, kami terpaksa menyusun semula jadual domestik kerana perubahan yang dibuat oleh pihak luar. Kami meminta pemain untuk beraksi dalam lebih banyak perlawanan, dan perlu ada rundingan sewajarnya melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk FIFA. Itu yang sangat kami kesali,” katanya.
Walaupun saingan EPL kekal konsisten sejak 1994, ia tidak terkecuali daripada memaksa kelab mematuhi jadual padat yang dirancang oleh badan bola sepak lain.
Terbaharu, permohonan Chelsea dan Manchester City untuk memulakan musim lebih lewat ditolak, meskipun kedua-duanya terlibat dalam aksi kompetitif sepanjang musim panas.
Chelsea dijadualkan menentang Crystal Palace di Stamford Bridge hanya lima minggu selepas memenangi Piala Dunia Kelab di Stadium MetLife, Amerika Syarikat.
“Ini adalah kesan langsung daripada keputusan yang dibuat di luar kawalan kami oleh badan induk bola sepak yang menjejaskan liga domestik.
“Jika kejohanan antarabangsa tamat pada pertengahan Julai, pemain perlukan tiga minggu rehat, dan itu cuma tinggalkan satu minggu sebelum musim baharu bermula. Ini tidak logik.
“Keadaan ini menimbulkan konflik tidak perlu antara kami dengan kelab kami sendiri. Bukan sahaja membabitkan kelab yang menyertai kejohanan antarabangsa, tetapi juga lawan mereka dan kami mesti berlaku adil kepada semua pihak,” ujar Masters.