ALOR SETAR - Kerajaan disaran mewujudkan sistem pemantauan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang telus bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukan sekadar 'cantik di atas kertas' sahaja.
Naib Presiden, Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, antara langkah lain termasuk memperkenalkan laporan berkala kepada Parlimen dan rakyat, penubuhan sistem aduan awam berpusat, serta pelaksanaan penilaian impak dasar oleh pihak bebas.
Beliau turut mencadangkan agar ahli akademik, wakil rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) dilibatkan dalam proses audit pelaksanaan sebagai langkah memastikan ketelusan dan integriti dalam merealisasikan perancangan RMK13.
“Sehebat mana pun rancangan yang dirangka, kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan. Sejarah negara mengajar kita banyak dasar yang baik akhirnya gagal kerana ketirisan, birokrasi dan kelemahan pelaksanaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat
Menurut Mahfuz, kerajaan perlu memastikan RMK13 tidak disabotaj oleh kelemahan birokrasi atau ketirisan, selain memberi perhatian serius kepada isu pemilikan rumah anak muda dan ketidaksaksamaan wilayah, terutama di Sabah dan Sarawak serta kawasan luar bandar Semenanjung.
“Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar tidak boleh hanya menjadi pelengkap statistik, sebaliknya perlu menjadi penerima manfaat utama RMK13,” tegasnya.
Tambah beliau, RMK13 menawarkan banyak peluang kepada rakyat termasuk latihan kemahiran (TVET), keusahawanan digital, bantuan bersasar, perumahan serta peluang pekerjaan dalam ekonomi hijau dan sektor teknologi.
Sehubungan itu, Mahfuz berharap rakyat khususnya anak muda, belia desa dan wanita menyertai program pembangunan diri dan ekonomi yang diumumkan menerusi RMK13 selain bersikap proaktif mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi.
“RMK13 bukan hanya untuk kerajaan melaksana tetapi rakyat juga mesti menjadi rakan pelaksana. Tiada perubahan boleh berlaku tanpa penyertaan aktif rakyat sendiri.
“Rakyat perlu menjadi mata dan telinga kerajaan, memuji yang baik, menegur secara berhemah dan melapor sebarang salah laku,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, kestabilan politik dan sosial amat diperlukan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan RMK13, justeru beliau menyeru supaya perpaduan rakyat terus diperkukuh dan menolak suara perpecahan.
“RMK13 tidak boleh menjadi sekadar dokumen cantik di atas kertas. Ia peluang untuk bina Malaysia yang lebih adil, makmur dan tahan uji. Ia satu rangka besar yang perlukan pelaksanaan jujur, pemantauan ketat dan penyertaan seluruh rakyat.
“Semua pihak perlu bersedia menyokong usaha yang menjunjung amanah rakyat dan menegur kelompongan secara bertanggungjawab bagi memastikan RMK13 bukan sekadar rencana, tetapi kejayaan bersama,” katanya.
Mahfuz turut menyifatkan pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri hadir pada waktu negara memerlukan hala tuju baharu untuk keluar daripada perangkap ketidaksamarataan, ketirisan dan kebergantungan berlebihan kepada sistem lama yang tidak lagi berkesan.