BUKIT MERTAJAM – Tiga anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap dua lelaki warga asing pada September tahun lalu.
Mohd Shukri Amran, 35; Mohammad Faizal Mirdukhim@Mustapa, 43; dan Muhammad Arifshah Zulkefli, 23; bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan secara bersama yang dibacakan ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah didakwa bersama-sama dengan sengaja melakukan pemerasan terhadap dua lelaki warga Thailand.
Tindakan mereka didakwa telah mendatangkan ketakutan kepada kedua-dua mangsa, dengan tujuan mendorong mereka menyerahkan harta iaitu wang tunai sebanyak RM10,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat Juru (arah selatan) pada jam 1.30 pagi, 26 September tahun lalu.
Sehubungan itu, mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Mohd Shukri diwakili peguam M Puveneswaran, Muhammad Arifshah diwakili Muhammad Amirul Hakim, manakala Mohammad Faizal diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ima Syakira Mohd Salim.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari, yang menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Dalam rayuan, Puveneswaran dan Muhammad Amirul memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang minimum berikutan anak guam masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang lagi anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis yang sama turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan bersubahat melakukan pemerasan terhadap dua lelaki warga Thailand.
Muhammad Nizar Mat Axid, 40, dituduh bersubahat dengan tiga koperal berkenaan untuk melakukan pemerasan terhadap mangsa-mangsa terbabit.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Nizar, yang juga diwakili peguam Ima Syakira, didakwa secara bersama dengan Mohd Shukri, Mohammad Faizal dan Muhammad Arifshah atas kesalahan tersebut.
Sehubungan itu, dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 385 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah sewa di Jalan Setia 2, Taman Setia, Bukit Mertajam pada jam 2.30 pagi, 26 September tahun lalu.
Nor Shakila turut menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, namun Majistret Nurul Rasyidah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 12 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.