AKPS gagalkan cubaan seludup hidupan liar RM2.97 juta di KLIA

Iklan
Antara peralatan yang digunakan untuk menyeludup binatang liar melalui KLIA termasuk burung sewah dan Ungka tangan hitam

SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan penyeludupan 4,958 ekor hidupan liar bernilai RM2.97 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sepanjang tahun ini.

Komander AKPS KLIA, Ibrahim Mohd Yusof berkata, jumlah itu melibatkan 10 kes dalam tempoh tujuh bulan sejak Januari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah rampasan tersebut membabitkan 32 spesies hidupan liar daripada kelas mamalia, reptilia dan avifauna.

“Seramai 12 individu termasuk tiga wanita telah ditahan, terdiri daripada lapan warga tempatan, dua warga Indonesia dan dua warga India.

Iklan

“Antara hidupan liar yang dirampas ialah siamang, lotong, ungka tangan hitam serta pelbagai spesies kura-kura seperti pig nose turtle, leopard tortoise, red-eared slider, dan aldabra tortoise, selain spesies ular, biawak, cicak dan burung seperti sewah tahu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, suspek selalunya merupakan penumpang pesawat yang menuju ke destinasi dikenal pasti sebagai 'hotspot' penyeludupan hidupan liar, seperti negara-negara di rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Iklan

Tambah Ibrahim, siasatan mendapati suspek mengakui bahawa bagasi yang dikesan mengandungi hidupan liar bukan milik mereka, sebaliknya disediakan atau diserahkan oleh individu lain.

“Mereka ini mungkin terdiri daripada rakan rapat, kenalan baharu, atau bahkan individu asing yang baru dikenali melalui pertemuan peribadi atau media sosial.

“Malah dalam beberapa kes, individu yang menyerahkan bagasi turut membantu suspek sehingga ke kaunter daftar masuk (check-in) bagi memastikan urusan penghantaran berjaya dilakukan,” ujarnya.

Jelasnya, individu terbabit hanyalah ‘keldai penyeludupan’ yang digunakan sebagai perantara.

Katanya lagi, mereka yang ditangkap mendakwa diperalat atau dipujuk dengan pelbagai helah, tanpa menyedari sepenuhnya bahawa apa yang mereka bawa melibatkan spesies dilindungi dan menyalahi undang-undang.

Tegasnya, AKPS akan terus mempergiatkan usaha mencegah aktiviti penyeludupan menerusi pemeriksaan bersepadu dengan agensi penguat kuasa lain secara berkala, serta meningkatkan saringan bagasi 100 peratus bagi destinasi berisiko tinggi.