Mayat budak dalam belukar: Bapa direman seminggu lagi

Iklan
Suspek dibawa polis ke Mahkamah Majistret Bahau untuk permohonan reman

JEMPOL – Bapa kepada kanak-kanak lelaki yang mayatnya ditemui ditanam di kawasan belukar di Rompin, di sini pada Isnin lalu, direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Bahau pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 36 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Norshazwani Ishak sehingga 7 Ogos ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

Terdahulu, suspek dibawa polis ke mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dengan berpakaian lokap berwarna jingga.

Suspek sebelum ini telah direman selama tujuh hari bermula 25 Julai di Johor Bahru bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 187 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu berhubung kehilangan anaknya.

Iklan

Pada Isnin lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, ditemukan mati ditanam di kawasan belukar di Rompin, Jempol.

Susulan penemuan itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan telah ditahan dan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Iklan

Difahamkan, suspek sebelum ini membuat laporan polis dengan mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan di dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian. Namun, berdasarkan soal siasat awal, suspek dipercayai berdepan masalah rumah tangga dan sedang dalam proses perceraian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof pula dilaporkan berkata, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dengan tekanan pada leher akibat dijerut menggunakan pengikat kabel.