Bila murid naik tangan, cikgu makin tertekan

Iklan
Tular pelajar lelaki berusia 14 tahun menumbuk guru gara-gara ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani. Foto tular

DULU murid takut cikgu. Sekarang cikgu pula yang takut murid.

Merak Jalanan perhati trend ini makin menjadi-jadi. Bukan lagi kes terpencil, tapi macam wabak menular dari satu sekolah ke satu sekolah.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang tular dalam video di platform media sosial kerana menumbuk gurunya, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret.

Difahamkan kejadian berlaku di sebuah sekolah menengah pada 28 Julai lalu melibatkan seorang guru lelaki berusia 29 tahun. Mesejnya memang jelas, tiada kompromi daripada kerajaan walaupun pelajar itu bawah umur.

Iklan

Merak Jalanan tak pasti sejak bila situasi ini jadi terbalik. Tapi yang pasti, makin lama makin ramai cikgu mengeluh.

Bukan sebab silibus susah, tapi sebab kerenah manusia yang semakin hilang adab. Selain itu, ada juga sebelum ini kes pelajar perempuan menyumpah seranah cikgu depan kelas, siap ada penonton rakam dan tepuk tangan. Dah macam pentas Maharaja Lawak pula.

Iklan

Soalnya, apa jadi dengan rasa hormat? Merak Jalanan bukan nak salahkan sesiapa. Tapi kalau trend ini berlarutan, jangan pelik kalau satu hari nanti, cikgu minta murid isi borang ‘izin untuk menegur’ dulu sebelum nasihat.

Cikgu kini ibarat watak sampingan dalam sistem pendidikan. Ditekan silibus bertimbun, diburu KPI, ditambah pula dengan kerenah budak yang semakin ‘kebal’.

Tegur sikit, kena herdik. Marah sikit, kena tumbuk. Nak marah murid, takut disaman. Nak rotan, viral pula di TikTok.

Ibu bapa pula ada yang sokong anak tanpa soal selidik. Asal cikgu tegur, terus nak datang sekolah pakai jaket peguam bela. Akhirnya, ramai guru ambil jalan selamat. Ajar ikut buku, pengajaran akhlak letak ke tepi.

Kalau trend ini tak diperbetul, barangkali kita akan sampai ke satu titik di mana bukan saja tiada yang mahu jadi cikgu, bahkan anak-anak kita juga mungkin menganggap hormat itu bukan lagi sebahagian daripada pelajaran.