KUANTAN – Kerajaan Pahang melancarkan inisiatif khas Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan sebagai penghormatan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini atas khidmat bakti mereka kepada tanah air.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu dirangka khas untuk 10,000 pesara ATM dan PDRM yang menetap di Pahang.
Menurutnya, setiap penerima akan menerima manfaat kad kesihatan bernilai RM500 yang boleh digunakan untuk rawatan perubatan, pembelian ubat-ubatan, saringan kesihatan serta perkhidmatan di klinik swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri.
“Bagi inisiatif khas ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta dan pelaksanaannya akan bermula tahun hadapan.
“Selain itu, inisiatif ini juga dapat membantu mengurangkan masa menunggu golongan veteran untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Minum Petang Veteran ATM dan PDRM sempena Sambutan Hari Pahlawan Negeri Pahang 2025, di sini pada Khamis.
Wan Rosdy turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri berbesar hati memberikan sumbangan geran tahunan masing-masing sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Veteran ATM dan RM50,000 kepada Persatuan Veteran PDRM peringkat negeri untuk melaksanakan aktiviti mereka.
Terdahulu dalam ucapannya, Wan Rosdy menegaskan bahawa pemberian Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan adalah cerminan semangat Aspirasi Pahang 1st, iaitu membangunkan negeri secara inklusif tanpa meminggirkan mana-mana kelompok, apatah lagi mereka yang telah berjasa kepada negara.
“Kita bukan hanya mahu membina infrastruktur fizikal, tetapi juga mahu memperkukuh struktur sosial.
“Kita bukan hanya mahu membina jalan dan bangunan, tetapi juga membina jambatan kasih antara kerajaan dan rakyat,” katanya.
Justeru, beliau percaya bahawa penghargaan kepada pahlawan negara bukan hanya sekadar kata-kata, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan dasar yang prihatin.
“Pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban perubatan para veteran dan memberikan ketenangan kepada mereka dari segi kebajikan kesihatan.
“Saya turut menyeru agar lebih banyak pihak sama ada agensi, syarikat mahupun individu tampil memberikan sokongan kepada komuniti veteran dalam bentuk bantuan kebajikan, peluang ekonomi serta sokongan sosial,” ujarnya.