Lelaki tikam anggota: Polis rampas tiga peket lut sinar disyaki dadah

Iklan
Mohamed Usuf. Foto kecil: Laporan Sinar Harian berhubung kejadian anggota polis ditikam ketika lakukan pemeriksaan

KUALA LUMPUR – Penahanan seorang lelaki tempatan yang menikam seorang anggota polis di Pudu, di sini pada Khamis turut membawa kepada penemuan tiga peket plastik berisi serbuk dan ketulan berwarna kekuningan disyaki dadah.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari, mangsa bersama empat anggota polis sedang menjalankan pemeriksaan ke atas suspek terbabit.

Iklan
Iklan

"Suspek berusia 56 tahun itu telah menikam perut mangsa menggunakan sebilah pisau sebelum melarikan diri.

"Anggota polis yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mohamed Usuf berkata, pihak polis berjaya menahan suspek sejurus selepas kejadian bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebilah pisau berukuran anggaran 21.5 sentimeter dan tiga peket plastik lut sinar berisi serbuk serta ketulan berwarna kekuningan yang disyaki dadah.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh menggunakan senjata serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Beliau berkata, suspek akan direman pada Jumaat untuk siasatan lanjut.

"Polis Kuala Lumpur menggesa orang awam yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohd Firdaus Sharil di talian 012-338 8164.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.