PeSAWAH desak PM campur tangan isu insentif tertunggak

Iklan
PeSAWAH dakwa masih belum terima bayaran pembajakan dan penuaian walaupun kerajaan dua kali beri jaminan. - Foto hiasan/Bernama. Foto kecil: Abdul Rashid

ALOR SETAR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar campur tangan segera berhubung kegagalan penyaluran insentif pembajakan dan penuaian yang tertunggak selama tiga musim penanaman padi.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, kerajaan telah dua kali membuat janji untuk menyelesaikan pembayaran penuh insentif terbabit, namun sehingga kini pesawah masih belum menerima sebarang bayaran yang dijanjikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembayaran penuh insentif pembajakan dan penuaian perlu diselesaikan serta-merta tanpa sebarang alasan lagi.

“31 Julai merupakan tarikh akhir janji kedua yang diumumkan sendiri oleh kerajaan, namun sehingga hari ini bayaran itu belum dilunaskan. Jangan biarkan pesawah terus menjadi mangsa janji-janji kosong,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Abdul Rashid berkata, PeSAWAH kecewa dengan kegagalan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menunaikan janji tersebut, yang mana janji pertama dibuat pada 11 Jun 2024.

“Pada ketika itu, KPKM mengumumkan kenaikan kadar insentif pembajakan daripada RM100 kepada RM160 per hektar per musim dan pengenalan insentif baharu bagi penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim.

Iklan

“Bantuan itu diumumkan sebagai langkah meringankan beban pesawah berikutan penghapusan subsidi diesel yang bermula pada Jun 2024.

“Namun, janji tersebut tinggal angan-angan kosong. Setelah setahun pesawah menanggung peningkatan kos operasi sehingga 55 peratus, kerajaan sekali lagi memberi harapan palsu,” jelasnya.

Tambah beliau, berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 16 Jun lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 28 Jun sekali lagi mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan bersetuju dengan kadar insentif yang sama dan memberi jaminan pembayaran akan diselesaikan sebelum 31 Julai.

“Janji itu sekali lagi dimungkiri. Sudah tiga musim pesawah berhempas pulas di bendang tanpa subsidi bersasar diesel yang dijanjikan. Kami tanggung beban kos yang melampau, kerajaan pula berulang kali mengumumkan seolah-olah isu ini telah selesai,” katanya.

Abdul Rashid menyifatkan kegagalan KPKM menunaikan janji tersebut sebagai kelemahan tadbir urus dan kurangnya keprihatinan terhadap nasib pesawah.

“Sikap lepas tangan ini amat dikesali. Kami bukan peminta sedekah. Kami hanya menuntut hak dan janji yang telah diumumkan secara rasmi oleh kerajaan sendiri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan kerajaan menyelesaikan isu ini bukan sahaja mengkhianati kepercayaan pesawah, malah berisiko mengancam keterjaminan bekalan beras negara.