SHAH ALAM – Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis disifatkan hadir tepat pada masanya ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan yang menjejaskan daya saing serta kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai pelan pembangunan lima tahun, RMK13 bukan sekadar dokumen ekonomi, malah mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan yang inklusif dan saksama serta memastikan tiada rakyat yang terpinggir.
“Saya tertarik dengan fokus kebijakan kedua dalam RMK13 yang memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi melalui penciptaan nilai dipacu oleh pendigitalan dan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI).
“Pendekatan ini merangkumi pemacuan industri bernilai tinggi (HGHV) dan sektor-sektor strategik agar pertumbuhan ekonomi negara bukan sahaja mampan, tetapi juga inklusif dan saksama,” katanya pada sidang akhbar di Lobi Dewan Rakyat selepas pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata bahawa RMK13 berteraskan tiga asas utama iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah, sistem sosial berteraskan insan MADANI serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Pelan itu menyasarkan pembentukan masyarakat yang inklusif dan progresif, selain menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi digital serantau menerusi penghasilan inovasi serta produk dan perkhidmatan bertaraf global ‘Made by Malaysia’.
Menerusi RMK13, lebih RM20 bilion diperuntukkan bagi projek tebatan banjir dan sistem amaran awal berasaskan AI serta pengukuhan kesiapsiagaan dan tadbir urus bencana.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan terhadap pemerkasaan ekosistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), terutamanya dari segi kesejajaran gaji minimum yang melebihi prasyarat ditetapkan.
“Semoga gaji premium berasaskan keterampilan atau kemahiran ini akan dapat mengubah seluruh minda yang masih terikat kepada pelaburan berasaskan buruh tanpa keterampilan.
“Ini memberikan nilai tambah kepada ekosistem pendidikan serta kebolehpasaran pekerjaan dalam negara kita,” ujarnya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menghargai usaha memperkasakan agenda ekonomi bumiputera sebagaimana yang ditetapkan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35).
Menurut beliau, sebanyak 132 inisiatif yang telah ditetapkan menerusi resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera juga telah diterapkan dalam RMK13.
“Mudah-mudahan ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat di semua peringkat – sama ada di luar bandar, pinggir bandar atau dalam bandar serta di Sabah dan Sarawak.
“Akhirnya, saya ingin memberi penekanan terhadap pengurusan bencana negara yang juga di bawah tanggungjawab saya. Apa yang disebutkan Perdana Menteri tadi merupakan rancangan jangka panjang yang pada hemat saya mampu memberikan mitigasi terhadap masalah bencana alam, khususnya banjir, yang sekian lama kita cuba atasi,” katanya lagi.