RMK13: Kerajaan peruntuk RM430 bilion, sasar pelaburan RM611 bilion

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM611 bilion bagi menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sepanjang tempoh 2026 hingga 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, peruntukan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM430 bilion.

Iklan
Iklan

Menurutnya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang sebanyak RM120 bilion, manakala sokongan pihak swasta melalui pelaksanaan projek secara perkongsian awam-swasta (PPP) pula diunjurkan berjumlah RM61 bilion.

“Gabungan pelaburan ini penting dalam memastikan perancangan strategik RMK13 dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Daripada jumlah peruntukan RM430 bilion itu, lebih daripada separuh iaitu sebanyak RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

Sektor sosial turut diberi keutamaan dengan peruntukan RM133 bilion, merangkumi RM67 bilion kepada sektor pendidikan dan RM39 bilion untuk sektor kesihatan.

Iklan

Sementara itu, sektor keselamatan akan menerima RM51 bilion, manakala sektor pentadbiran diperuntukkan RM17 bilion.

Anwar berkata, agihan strategik ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memacu pembangunan negara secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

“Dengan berjayanya kebijakan ikhtiar ini, menjelang 2030, kita bukan sekadar memiliki pencapaian material yang hebat dan mampu mengeluarkan produk bernilai tinggi, malah kita juga mempunyai rakyat yang berjiwa besar, hidup bersatu padu, saling menghormati kepelbagaian budaya dan memiliki jati diri yang utuh. Inilah impian Malaysia Madani,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa RMK13 harus menjadi milik bersama melibatkan setiap individu, masyarakat, sektor swasta dan Kerajaan yang berganding bahu dan teguh bergerak di landasan pembangunan demi mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat.

 


Pelaburan strategik luar bandar dipergiat, infrastruktur kekal keutamaan

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memperkukuh infrastruktur asas dan memperluas pelaburan strategik di kawasan luar bandar termasuk tanah rancangan FELDA, FELCRA serta wilayah pembangunan lain bagi merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha ini turut merangkumi rangsangan aktiviti ekonomi dan penarikan pelaburan baharu ke kawasan yang sebelum ini kurang mendapat tumpuan.

“Tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh kemudahan asas dan merangsang pertumbuhan ekonomi di luar bandar, bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dikongsi secara menyeluruh,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sehubungan itu, pelaburan berimpak tinggi akan diperluas ke luar kawasan tumpuan utama menerusi pembangunan beberapa kawasan perindustrian baharu, termasuk Kawasan Perindustrian Lembah Chuping dan Pelabuhan Darat Perlis; Taman Perindustrian Hijau Bersepadu di Kerian serta Bandar Perindustrian Maritim Lumut di Perak.

Selain itu, kerajaan juga akan membangunkan Taman Perindustrian Tok Bali di Kelantan dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu di Sabah sebagai pemangkin ekonomi negeri masing-masing.

Dalam masa sama, pembangunan infrastruktur berskala besar kekal menjadi agenda utama kerajaan bagi meningkatkan keterhubungan antara wilayah dan memacu pertumbuhan kawasan sekitar secara lebih terancang.

Antara projek utama yang sedang dan akan terus dilaksanakan termasuk pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang ke pantai barat Semenanjung; Landasan Berkembar Gemas–Johor Bahru dan sistem Elektrik Autonomous Rail Transit (E-ART) di Johor Bahru; serta Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.

“Pembangunan infrastruktur seperti ini penting untuk merangsang pemulihan ekonomi tempatan serta memperkukuh integrasi logistik antara wilayah,” ujar Perdana Menteri.

Dalam masa yang sama, inisiatif pembangunan berorientasikan transit (TOD) akan dipercepatkan, iaitu pendekatan pembangunan yang menyepadukan sistem pengangkutan awam dengan elemen perumahan, komersial dan perkhidmatan awam.

Menurut Anwar, pelaksanaan TOD akan memberi impak positif kepada kelestarian bandar dan kesejahteraan penduduk dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan dan menjana aktiviti ekonomi setempat.

“Ini adalah sebahagian daripada pendekatan holistik kerajaan untuk memastikan pembangunan fizikal memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.