KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan MyDigital ID sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal yang selamat dan sahih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memudahkan akses kepada pelbagai kemudahan awam dalam talian.
"Gerbang tunggal sektor awam juga akan dibangunkan sebagai platform sehenti bagi memudahkan urusan rakyat.
"Melalui GovTech juga, sistem kehakiman negara termasuk Mahkamah Syariah akan ditambah baik.
"Penambahbaikan sistem e‑Syariah dan perekodan prosiding misalnya, akan mempermudah dan mempercepat urusan orang awam, pegawai mahkamah termasuk peguam syarie," katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, penjawat awam akan diberi latihan intensif dalam bidang digital dan AI bagi memperkasa bakat digital negara dan memanfaatkan analitik data raya.
Ia bagi mencapai 95 peratus perkhidmatan kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya menjelang tahun 2030.
"Kita yakin Malaysia mampu berdiri megah sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi AI dan digital.
"Dengan pendekatan berfokus dan usaha berterusan, Malaysia pasti berupaya mencapai kedudukan 20 terbaik dunia dalam Online Service Index (UN e-Government Development Index) serta mengekalkan Kategori A dalam GovTech Maturity Index," jelasnya.
RMK13 fokus perkasa teknologi tempatan dan AI kebangsaan
KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi tumpuan kepada penerapan inovasi teknologi tempatan dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara, khususnya menerusi pembangunan aset digital strategik seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data dan sistem digital kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memacu agenda teknologi negara ke hadapan dengan memanfaatkan potensi besar dalam bidang digital dan automasi.
“Langkah ini penting untuk memperkukuh daya saing ekonomi negara serta membangunkan industri yang mampan dan berimpak tinggi, sejajar dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara berteraskan kecerdasan buatan,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut beliau, aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) akan terus dipergiat bagi meningkatkan keupayaan produk dan perkhidmatan tempatan berjenama"Made by Malaysia".
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan akan menggerakkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan, pemerkasaan penyelidikan, pengkomersialan teknologi serta penyediaan infrastruktur digital bagi menyokong adaptasi AI secara menyeluruh di semua sektor.
Kerajaan turut menyasarkan liputan jaringan 5G mencapai 98 peratus di kawasan berpenduduk dan perindustrian termasuk kawasan desa menjelang 2030, sekali gus memperluas penerapan AI dalam pelbagai bidang secara menyeluruh.
“Selain memperkukuh prasarana digital, sasaran kita juga melibatkan penghasilan sekurang-kurangnya 5,000 usahawan digital tempatan,” ujar Anwar.
Bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap penggunaan teknologi, ekosistem AI negara akan diperkasa melalui pelaksanaan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data Nasional. Ia akan memastikan keselamatan data peribadi, menangani ancaman siber dan menjamin kedaulatan digital negara.
Pada masa sama, dasar-dasar utama negara seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia akan terus diberi keutamaan.
“Pelaksanaan dasar-dasar ini mesti memberi manfaat terus kepada rakyat dan industri. Kejayaan tidak hanya diukur pada pencapaian teknologi, tetapi pada sejauh mana ia meningkatkan kualiti hidup rakyat,” jelasnya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif digitalisasi sektor perniagaan, kerajaan juga akan memperkenalkan Identiti Digital Perniagaan serta memperluas penggunaan teknologi digital twin bagi meningkatkan kecekapan operasi, daya saing dan inovasi pemain industri tempatan.
Tadbir urus berasaskan data digital pula akan diperkasa melalui pembangunan Bank Data Negara yang akan menjadi pangkalan data bersepadu negara, selain penubuhan Suruhanjaya Data untuk mengawal selia keselamatan dan penggunaan data secara sistematik.
Kerajaan juga akan melaksanakan pelbagai program bagi memupuk literasi AI seawal peringkat rendah, memperluas pemilikan harta intelek tempatan, meningkatkan suntikan dana strategik serta menggalakkan kerjasama rentas sektor antara pemain industri, institusi penyelidikan, universiti dan inovator muda.
Pendekatan menyeluruh ini diyakini dapat membangunkan ekosistem inovasi yang kukuh dan mampan, sekali gus menjadikan Malaysia antara peneraju utama dalam teknologi dan AI di rantau ini serta memberi pulangan jangka panjang kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.