Strategi Anwar lonjak kredibiliti Malaysia sebagai pendamai ASEAN

Iklan
Pendekatan bijak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menunjukkan bahawa gagasan itu mampu menyelesaikan isu dalaman tanpa perlu bergantung kepada campur tangan luar, asalkan dikemudi oleh kepimpinan berwibawa.

PUTRAJAYA – Tindakan pantas dan strategi diplomatik licik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi faktor utama kejayaan Malaysia mendamaikan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja yang tercetus selama lima hari dan meragut lebih 30 nyawa.

Pakar geostrategi, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, kejayaan memperoleh persetujuan gencatan senjata serta-merta dalam isu yang kompleks ini menarik perhatian dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan media antarabangsa.

Iklan
Iklan

“PMX (Anwar) menggunakan tiga kelebihan utama iaitu pertamanya sebagai Pengerusi ASEAN, beliau menghubungi kedua-dua pemimpin bertelagah seawal hari pertama.

"Hari ketiga sudah ada persetujuan. Trump pula hanya campur tangan pada hari keempat.

Iklan

“Itu membuktikan PMX meletakkan asas kepada rundingan dan memastikan ASEAN berada di kerusi pemandu,” katanya kepada Sinar Harian.

Azmi berkata, kelebihan kedua terletak pada rekod Malaysia sebagai pengantara yang adil dalam pelbagai konflik serantau termasuk di Mindanao, Selatan Thailand dan Aceh.

Iklan

“Malaysia ada pengalaman. Kita pernah jadi pengantara dalam isu Bangsamoro, Aceh dan Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thailand. Itu semua beri kita kelebihan yang dihormati,” jelasnya.

DR AZMI

Tambahnya lagi, kelebihan ketiga yang diguna dengan cermat oleh Anwar ialah pengaruh kuasa besar dunia.

"Beliau tahu China dan AS sedang menunggu masa untuk masuk campur tetapi Anwar panggil mereka duduk di belakang sebagai pemerhati, bukan penggerak rundingan.

“Itu strategi yang meletak ASEAN sebagai penggerak, bukan kuasa luar. Malaysia di kerusi pemandu, kuasa besar hanya menunggu,” katanya.

Menurut Azmi, pendekatan ini menunjukkan bahawa ASEAN mampu menyelesaikan isu dalaman tanpa perlu bergantung kepada campur tangan luar, asalkan dikemudi oleh kepimpinan berwibawa.

Beliau turut menyarankan agar pendekatan ini dijadikan asas kepada penyelesaian isu lain dalam ASEAN seperti krisis Myanmar dan Laut China Selatan.

“Kita perlu pastikan ASEAN kekal di kerusi pemandu. Inilah benchmark baharu yang ditunjukkan oleh Anwar,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Mujibu Abdul Muis juga senada dengan Azmi dan menyifatkan kejayaan ini lebih banyak berpunca daripada faktor peribadi Anwar berbanding keberkesanan mekanisme ASEAN itu sendiri.

“ASEAN tiada kuasa menghukum agresor. Ia bergantung kepada rundingan dan prinsip tidak campur tangan. Dalam kes ini, keupayaan peribadi Anwar jadi penentu utama,” katanya.

MUJIBU

Menurut Mujibu, Anwar bijak menggunakan reputasi dan hubungan rapatnya dengan pemimpin kedua-dua negara untuk membuka jalan rundingan.

“Dua faktor penting ialah ketokohan Anwar dan kebijaksanaan beliau menggunakan peranan sebagai Pengerusi ASEAN. Gabungan itu membolehkan Malaysia tampil sebagai kuasa tengah yang dihormati,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penghantaran pasukan peninjau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke kawasan sempadan kedua-dua negara bertelagah sebagai bukti kesungguhan Malaysia mengekalkan keamanan di rantau ini.

“Malaysia sudah lama dikenali sebagai negara berkecuali dan aktif dalam misi keamanan. Ini selari dengan dasar luar kita yang menolak keganasan,” katanya.

Mujibu menambah, pengiktirafan oleh tokoh besar seperti Trump terhadap peranan Anwar dalam menyelesaikan konflik tersebut turut meningkatkan soft power Malaysia di mata dunia.