KM3D 2025: FELDA perkasa desa ke pentas dunia

Iklan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabeery Cheek bersama pengunjung Karnival Mega 3 Dimensi (KM3D) 2025.

KUALA LUMPUR - FELDA menerajui gelombang baharu pembangunan luar bandar melalui penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi (KM3D) 2025, satu acara nasional berskala besar yang bakal menjadi simbol kebangkitan desa sebagai pemacu utama kemajuan negara.

Bertemakan “Desaku Mendunia”, karnival yang akan berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menyatukan tiga programj utama negara iaitu Hari Peneroka FELDA (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD), dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dalam satu acara bersepadu.

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan, FELDA berkata, 2025 dilihat sebagai titik tolak penting bagi Felda dalam melaksanakan misi transformasi perkhidmatan korporat dan memperkasa komuniti luar bandar.

FELDA juga menjelaskan bahawa pelaksanaan KM3D mencerminkan kesungguhan agensi itu menyusun semula kekuatan institusi selaras dengan Pelan Strategik Felda 2025–2030.

Iklan

“KM3D bukan sekadar sebuah pesta karnival atau platform pameran produk, tetapi juga merupakan manifestasi komitmen FELDA dalam menyusun semula kekuatan institusi dan meningkatkan mutu perkhidmatan korporat untuk menyokong aspirasi nasional,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, FELDA mengambil langkah proaktif melalui pelbagai program sosioekonomi dan keusahawanan, membolehkan warga peneroka melangkah keluar daripada kepompong kemiskinan dan menjadi pemain ekonomi desa yang lebih mandiri dan berdaya saing.

Iklan

"Penekanan utama diberikan kepada pemerkasaan peneroka menerusi penstrukturan semula organisasi, peningkatan kecekapan perkhidmatan dan penyesuaian terhadap kehendak teknologi serta komuniti moden," kata kenyataan itu lagi.

Antara kejayaan yang mencuri perhatian menjelang KM3D ialah kemenangan MARESMAF Wind Orchestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak, yang meraih Anugerah Emas di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech.

"Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama FELDA, tetapi membuktikan keupayaan anak-anak komuniti luar bandar bersaing di peringkat global apabila diberi peluang dan sokongan," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Hari Peneroka FELDA yang menjadi teras utama karnival turut diraikan secara besar-besaran.

Pra-sambutan yang berlangsung di Felda Tunggal, Johor menarik lebih 15,000 pengunjung, manakala Mini Karnival Madani yang diadakan di FELDA Wilayah Sahabat, Sabah mengukuhkan ikatan antara komuniti FELDA di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Karnival Usahawan Desa (KUD) kali ini mencatat rekod penyertaan lebih 1,000 usahawan dari seluruh negara. Produk makanan, kosmetik, fesyen dan inovasi pertanian memenuhi ruang pameran. Lebih 100 aktiviti termasuk sesi padanan perniagaan, pitching pelaburan dan bengkel eksport turut dirangka.

“Konsert percuma yang menampilkan Aina Abdul dan Khai Bahar turut menyemarakkan pentas rakyat menjadikan suasana karnival bukan sekadar informatif, tetapi turut bersifat inklusif dan menghiburkan.

“Dalam masa yang sama, SDSI mempersembahkan pelbagai produk unik dari seluruh daerah termasuk kopi FELDA Moakil, makanan tradisional dari Gua Musang, batik dari Terengganu, dan tenunan eksklusif dari Pahang.

Pameran ini menarik minat pelabur antarabangsa dari Jepun, UAE, Turki dan China, membuka potensi eksport baharu bagi produk desa,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, KM3D turut menjadi platform untuk mempromosi pelbagai inisiatif digital FELDA seperti SmartVillage, e-Kopex, serta integrasi teknologi AI, IoT, dan drone untuk pemantauan ladang. Pembangunan aplikasi MyDesaGo pula membuka akses pasaran luar negara melalui padanan digital bersama diaspora Malaysia di luar negara.

Geran Pengeksport Mikro FELDA, Dana Transformasi Digital dan Program Mobiliti Global diperkenalkan bagi menggalakkan usahawan FELDA memperluas capaian produk ke pentas antarabangsa.

Gabungan program nasional seperti HPF dan KUD pada masa depan menjadi cerminan pendekatan integrasi nasional yang lebih efisien dan berimpak tinggi. Kerjasama sinergi antara FELDA, KUSKOP dan KKDW mengukuhkan ekosistem luar bandar yang moden, digital dan kompetitif — lebih-lebih lagi dalam suasana pasca-pandemik dan ketidaktentuan ekonomi global.

Malah, pelantikan semula Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi FELDA turut menandakan kesinambungan pembaharuan struktur pentadbiran dan hala tuju strategik FELDA.

“Keseluruhannya, Karnival Mega 3 Dimensi 2025 menjadi lebih daripada sekadar acara tahunan yang juga adalah simbol gerakan pembaharuan FELDA.

“Dari pemberdayaan warga peneroka, pendidikan anak-anak, pemodenan ekonomi, hinggalah kepada kebangkitan teknologi desa, FELDA tampil sebagai institusi pembangunan menyeluruh yang membawa nama desa ke persada antarabangsa.

“Dengan semangat “Desaku Mendunia”, FELDA membuktikan bahawa luar bandar bukan lagi sekadar wilayah pinggiran, tetapi pelantar kemajuan negara yang sebenar apabila diberi ruang, bimbingan dan kepercayaan,” katanya.