SHAH ALAM – Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan yang menggunakan nama bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat individu tidak bertanggungjawab menyamar sebagai wakil pihak berkuasa atau syarikat tertentu termasuk menyalahgunakan nama peruncit seperti MYDIN untuk menipu orang awam.
“Penipuan itu biasanya berlaku menerusi mesej atau pautan palsu yang dihantar melalui aplikasi komunikasi peribadi seperti WhatsApp, SMS atau media sosial.
“Saya ingin menegaskan bahawa tiada pasar raya atau peruncit yang terlibat secara langsung dalam pengagihan STR melalui mana-mana platform komunikasi peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat peribadi atau perbankan kepada mana-mana individu tidak dikenali dan tidak klik sebarang pautan mencurigakan yang menjanjikan bantuan tunai.
“Semak kesahihan maklumat melalui saluran rasmi seperti laman web Kementerian Kewangan di https://bantuantunai.hasil.gov.my,” ujarnya.
Ameer yang juga Penasihat Persatuan Peruncitan Bumiputera itu turut menyeru orang ramai supaya peka dan tidak mudah percaya dengan sebarang mesej yang meragukan.
"MYDIN kekal komited menyokong usaha kerajaan dalam membantu rakyat, namun pada masa sama masyarakat perlu dilindungi daripada menjadi mangsa penipuan," tegasnya.