PERKEMBANGAN dua insiden yang tular baru-baru ini menambah lagi deretan episod menyayat hati melibatkan kekejaman dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak.
Kes pertama melibatkan penemuan mayat dipercayai milik seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Johor Bahru minggu lalu, sebelum ditemui tertanam di kawasan belukar di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan pada Isnin.
Kes kedua pula memperlihatkan tindakan tidak berhati perut apabila seorang kanak-kanak perempuan dipukul di kepala menggunakan tukul besi di hadapan lif oleh seorang lelaki di Flat Ungku Tun Aminah, Johor Bahru.
Kedua-dua kejadian terbaharu itu bukan sahaja menggemparkan masyarakat, malah menyentap nurani seluruh rakyat Malaysia yang masih menjunjung nilai kemanusiaan.
Kes-kes kekejaman terhadap kanak-kanak terus berlaku, meskipun media baru sahaja melaporkan penderitaan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun 11 bulan yang didera oleh bapa tiri dan ibu kandung menggunakan kulit durian, dua minggu lalu.
Apa sudah jadi dengan segelintir manusia hingga hilang simpati dan sanggup bertindak kejam terhadap golongan paling tidak berdaya, khususnya anak kecil yang belum mengerti pun erti dunia?
Lebih menyedihkan, dalam kes kanak-kanak lelaki yang mayatnya ditemui dalam belukar, suspek utama adalah bapa kandung sendiri. Seorang yang sepatutnya menjadi pelindung, bertukar menjadi pemusnah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memaklumkan bahawa hasil bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak lelaki itu mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tekanan di leher akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.
Sekalipun motif belum dipastikan sepenuhnya, realiti bahawa anak kecil itu dipercayai dibunuh dan dibiarkan mayatnya di dalam belukar menunjukkan tahap kezaliman yang sukar diterima akal.
Persoalannya, sampai bila anak-anak kecil akan terus menjadi mangsa, sedangkan mereka adalah amanah dan bukannya bahan amarah atau alat melepaskan geram?
Apabila mereka terus menjadi mangsa keganasan fizikal dan emosi – sama ada oleh darah daging sendiri atau orang asing yang hilang nilai kemanusiaan – itu tanda jelas bahawa masyarakat kita sedang sakit.
Justeru, masyarakat perlu lebih cakna dan bukan hanya bersimpati di ruangan komen media sosial.
Jika kita terus berdiam, maka kita turut bersubahat dalam jenayah itu – mungkin bukan di tangan, tetapi di hati yang membiarkan.
Jangan sampai satu lagi anak kecil gugur, baru kita terjaga daripada kebisuan jiwa terhadap kezaliman.
Insiden demi insiden seperti itu menuntut kita menilai semula sistem sokongan terhadap kanak-kanak di negara ini bermula daripada institusi keluarga, masyarakat setempat hingga kepada agensi penguat kuasa.