LENGGONG - Tiada unsur penyelewengan atau ketirisan dalam isu pengurusan kontrak kenderaan perisai Tentera Darat Malaysia (TDM) seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, kelewatan pengutipan denda terhadap kontraktor seperti dilaporkan adalah berpunca daripada kelemahan prosedur pengurusan kontrak.
Beliau menjelaskan bahawa isu seumpama itu bukanlah perkara baharu dan bukan kali pertama berlaku, namun ia tertakluk kepada proses penyelesaian kontrak secara beransur-ansur mengikut keperluan dan rundingan.
"Tiada ketirisan atau penyelewengan. Hanya prosedur yang mungkin tidak dipatuhi sepenuhnya.
"Jadi selepas ini kita akan lebih berhati-hati dan beri perhatian supaya pengurus kontrak ambil tindakan tepat pada masanya.
"Kita mempunyai banyak projek yang sedang berjalan," katanya ketika sidang akhbar sempena Serangan Akhir dan Penutup Eksesais KERIS STRIKE siri ke-30 di Felda Lawin Selatan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati, sebanyak RM167 juta denda lewat masih belum dikutip oleh Kementerian Pertahanan daripada kontraktor terlibat.
Bagaimanapun katanya, proses tuntutan sedang dijalankan secara berperingkat, termasuk melalui mekanisme penarikan bon bank dan pelarasan dalam kontrak baharu yang akan datang.
"Denda lewat ini adalah prosedur dalam kontrak apabila kontraktor gagal membuat penghantaran dalam tempoh ditetapkan. Sepatutnya di pihak pengguna, kita perlu laporkan.
"Kita sentiasa memantau situasi ini kerana tidak mahu perkara dilaporkan menjejaskan reputasi Tentera Darat," katanya.
Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini mendedahkan kelemahan ketara dalam pengurusan perolehan beberapa aset utama TDM termasuk Gempita, Pendekar, Adnan, Lipan Bara dan MIFV yang keseluruhannya membabitkan nilai kontrak berjumlah RM7.8 bilion dalam tempoh audit 2020 hingga 2023.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Hafizuddeain berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penggunaan peralatan lama menjadi antara faktor penyumbang dalam insiden kematian seorang anggota komando Grup Gerak Khas (GGK) ketika latihan menyelam di perairan Pelabuhan Kuantan, awal Julai lalu.
Katanya, penemuan awal siasatan mendapati, terdapat isu dari segi peralatan yang digunakan Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, anggota Rejimen Ke-22 GGK ketika kejadian, merupakan peralatan yang telah berusia.
“Kita sedang buat semakan dan audit, sama ada ia melibatkan kesilapan anggota ataupun sebenarnya masalah daripada peralatan itu sendiri.
"Jadi kita belum rumuskan lagi siasatan ini. Insya-ALLAH akan dimaklumkan,” ujarnya.
End