KLANG - Kira-kira lebih separuh daripada petani di Selangor berusia 50 tahun ke atas sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelangsungan sektor pertanian di negeri itu jika golongan muda terus kurang berminat menceburi bidang berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, trend itu menunjukkan keperluan mendesak untuk menjadikan sektor pertanian sebagai satu kerjaya yang menarik dan menguntungkan kepada generasi muda.
"Kalau kita tengok data (bancian pertanian) tadi, hampir 60 hingga 75 peratus daripada petani adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
"Kita kena jadikan pertanian ini satu aktiviti yang 'cool' dan meyakinkan, sebab ia sebenarnya mendatangkan hasil yang baik," katanya ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di sini pada Selasa.
Amirudin memberitahu, pernah wujud satu ketika dahulu trend golongan muda termasuk mereka dalam bidang kejuruteraan menceburi pertanian, namun ia tidak berpanjangan kerana kurang daya tarikan.
Justeru, katanya, kerajaan negeri akan mengemukakan dasar dan inisiatif menerusi Belanjawan Selangor dan pelan pembangunan akan datang bagi menarik penyertaan lebih ramai belia ke sektor berkenaan.
Mengulas mengenai peladangan kelapa sawit, Amirudin berkata, Selangor tidak ketinggalan dalam meraih hasil pengeluaran yang tinggi walaupun keluasan ladangnya tidak sebesar negeri lain seperti Sabah.
Kita beliau, Ladang Pulau Carey milik Sime Darby Plantation sebagai antara ladang contoh yang mencatatkan 'yield' (pulangan) kelapa sawit tertinggi di Malaysia.
"Cuma kita sekarang terikat dengan ketetapan antarabangsa yang tidak membenarkan pembukaan ladang baru hanya penanaman semula (replanting) sahaja yang dibenarkan.
"Tetapi dari sudut hasil, kita tetap catat peningkatan kerana ada pengurusan ladang yang baik dan mengikut amalan pertanian mampan,” katanya.
Katanya, terdapat juga ladang-ladang sawit mengurangkan penggunaan baja kimia secara berlebihan dan menggantikannya dengan pendekatan lebih mesra alam sejajar dengan kehendak piawaian global.
"Daripada semasa ke semasa, mereka sedang memperbaiki pengurusan ladang bagi mengelakkan penggunaan racun dan baja seperti baja urea secara berlebihan.
"Pengurusan ini dibuat untuk pastikan hasilnya tinggi tetapi masih lagi mampan dan mesra alam,” katanya.