LENGGONG - Tentera Darat Malaysia (TDM) berdepan cabaran dalam memastikan kesiapsiagaan aset negara berada pada tahap optimum susulan sebahagian besar peralatan dan kelengkapan sedia ada merupakan aset legasi yang telah berusia.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, walaupun kekangan peruntukan menghalang pembaharuan menyeluruh, pihaknya kekal komited melaksanakan penyelenggaraan rapi terhadap setiap aset sedia ada bagi memastikan kelancaran operasi dan latihan.
“Memang ada cabaran. Kita sedang menguruskan aset legasi, banyak kenderaan dan peralatan kita telah berusia.
"Bagaimanapun kita mengamalkan sistem penyelenggaraan yang cukup teliti supaya tahap kesiapsiagaan sentiasa berada di tahap setidak-tidaknya membolehkan kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab," katanya dalam sidang akhbar sempena Serangan Akhir dan Penutup Eksesais KERIS STRIKE siri ke-30 di Felda Lawin Selatan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, TDM turut meneliti semula keupayaan-keupayaan yang menjadi keutamaan pasukan melalui pelan pembangunan keupayaan strategik tentera darat (Army 4NextG) yang kini telah diselaraskan dengan hala tuju Angkatan Masa Hadapan (Future Force) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Kita memang ada senarai keperluan, kita ada wish list. (Namun) kita tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk perolehan yang banyak.
"Jadi kita terpaksa perhalusi setiap rancangan pembangunan keupayaan mengikut keutamaan yang telah ditetapkan dan seiring dengan hala tuju Tentera Laut dan Tentera Udara," ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, Eksesais KERIS STRIKE tahun ini melibatkan seramai 4,098 anggota Tentera Darat Malaysia, 233 anggota tentera Amerika Syarikat dan 151 anggota tentera Australia.
Katanya, tahun ini juga mencatatkan penyertaan pegawai penilai dari negara Thailand dan Jepun (Japanese Self-Defense Force) menunjukkan peningkatan minat antarabangsa terhadap eksesais yang telah dianjurkan selama lebih tiga dekad.
"Saya rasa puas hati terhadap prestasi ketumbukan yang mengambil bahagian, khususnya dalam serangan akhir yang menggambarkan keberhasilan matlamat eksesais.
"Kita boleh rumuskan ia sebagai bukti kejayaan memperkukuh kebolehlaksanaan bersama (interoperability) antara pasukan serta meningkatkan diplomasi pertahanan dengan negara terlibat," katanya.
Antara kelainan eksesais tahun ini ialah pelaksanaan latihan menembak sebenar (live firing exercise) di Segari yang berlangsung pada Isnin, turut disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Latihan itu menyaksikan penggunaan sistem Astros II MLRS oleh Tentera Darat Malaysia dan sistem HIMARS oleh tentera Amerika Syarikat, sekali gus memperlihatkan tahap kesiapsiagaan serta keupayaan persenjataan strategik.