SHAH ALAM – Tindakan mendoakan kehancuran sesama umat Islam atas perbezaan fahaman politik adalah satu perkara yang tidak wajar dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata meskipun perbezaan pandangan dalam politik adalah lumrah, namun Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk saling menghina, apatah lagi mendoakan kebinasaan terhadap saudara seagama.
“Ada yang membaca doa Qunut Nazilah untuk kehancuran individu tertentu, walaupun dia sesama Islam.
"Ada pula yang menyamakan beliau dengan monyet dan pemimpin negara asing seperti binatang lain, sedangkan perbincangan yang berlaku sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan ribuan nyawa rakyat akibat peperangan antara dua negara.
“Berbeza pendapat itu biasa, marah kepada lawan politik pun biasa, tapi Islam tidak ajar kita untuk doakan kehancuran sesama Islam dan tidak ajar untuk hina orang lain,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Dr Akmal berkata, perbezaan pendapat harus disandarkan kepada fakta dan bukan berdasarkan emosi tidak matang yang akhirnya mencetuskan kebencian tidak berasas dalam kalangan masyarakat.
Jelas beliau, pendekatan politik yang sempit dan merendahkan akal fikiran hanya akan memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap institusi politik itu sendiri.
“Kalau ada yang kata geng sebelah sini pernah buat benda yang sama dahulu, maka saya jawab, kalau orang dulu makan najis, adakah kita juga nak buat perkara sama? Sudah tentu tidak, sebab kita tahu itu kotor.
“Saya tidak berniat langsung mahu jadi penjilat apatah lagi ‘walanon’.
"Ada juga perkara yang saya tidak setuju dengan beliau (pemimpin dimaksudkan), tapi kalau sesuatu itu betul, kita patut beri pujian, dan kalau salah, kita tegur,” ujarnya.
Tambah beliau, rakyat hari ini mahukan politik matang yang membina, bukannya politik kebencian yang sempit dan menjauhkan masyarakat daripada nilai-nilai murni.
“Kita kena sedar, kalau kita tak mampu buat kebaikan, jangan pula halang orang lain nak buat kebaikan.
“Kalau orang politik masih lagi dengan gaya politik lama yang sempit, jangan terkejut kalau rakyat semakin muak dan benci kepada politik,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa dirinya bukan ‘walaun’ atau ‘walanon’, dan tiada kepentingan untuk menjadi sedemikian, sebaliknya hanya menyuarakan isi hati demi mengelakkan Islam terus difitnah akibat sikap segelintir yang tidak bertanggungjawab.