KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi bayangan mengenai kemungkinan pembentukan sebuah ‘rumah baharu’ selepas ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, istilah rumah baharu itu tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti politik baharu sebaliknya mungkin menyertai parti lama di negara ini.
"Saya akan ada rumah baharu. Ia boleh menjadi parti baru, parti lama...tetapi rumah yang baru," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di majlis taklimat ‘Reset Politik’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan khabar angin pihaknya akan mengambil alih parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).
"Kalau khabar angin itu jadi betul, betullah. Tapi kalau khabar angin itu hanya lepas begitu saja, tidaklah.
"Ada kemungkinan (benar) dan juga ada kemungkinan tidak kerana ada pilihan lain," katanya.
Sementara itu, Hamzah turut menegaskan tidak akan merayu selepas dipecat daripada parti itu pada Jumaat.
Ujarnya, beliau kini adalah Ahli Parlimen Bebas dan tidak mahu mendengar segala perkara yang terpaksa dilakukan tanpa kerelaan hatinya dalam Bersatu.
"Tidak payah lagi saya dengar perkara yang mungkin terpaksa saya lakukan tanpa kerelaan hati.
"Kalau diarah untuk melakukan sesuatu yang saya tidak ingini, susahlah saya. Lebih baik saya jadi Ahli Parlimen Bebas," katanya