BALIK PULAU - Penganjuran Festival Balik Pulau yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Julai lalu bukan sahaja menyemarakkan kembali seni budaya dan tradisi tempatan sebaliknya, program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dilihat turut merancakkan industri pelancongan khusus di kawasan Balik Pulau yang terkenal dengan pelbagai tarikan unik.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Mohd Radzi Omar berkata, penganjuran FBP 2025 bertujuan untuk mengangkat dan memelihara kepelbagaian seni, budaya dan warisan negara agar keunikan serta keasliannya terus diwarisi generasi masa kini.
Menurutnya, festival itu yang kali terakhir dianjurkan pada tahun 2019 kembali memeriahkan Balik Pulau dan menjadi platform penting dalam memperkasakan semangat komuniti serta memperkenalkan Balik Pulau sebagai destinasi pelancongan budaya yang tersendiri.
“Lokasi Balik Pulau tidak hanya terkenal dengan jolokan lubuk durian negeri malah mempunyai kebudayaan serta keunikannya tersendiri.
“Salah satunya kita mengangkat produk seni dan budaya khususnya di Balik Pulau, secara keseluruhanya. Kita cuba mengangkat kesenian boria di Pulau Pinang ke peringkat tinggi seiring dengan produk- produk yang lain.
“Melalui penganjuran program seperti ini kita berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat kepelbagaian serta keunikan seni budaya yang terdapat di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian penutup FBP 2025 di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini, pada Ahad.
Hadir merasmikan FBP 2025 ialah Exco Pelancongan, Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai.
Turut hadir dalam majlis itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Setiausaha Bahagian
Dasar dan Kebudayaan MOTAC, Wan Ashbi @ W Mahera Leman dan Pengarah JKKN Pulau Pinang, Eezmadyna Azalin Nordin.
Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, penganjuran FBP 2025 dapat menarik pelancong tempatan dan antarabangsa, menjana ekonomi masyarakat setempat seterusnya menyemai semangat patriotik dan warisan budaya demi generasi masa depan setempat.
FBP 2025 bertemakan ‘Kembali Riuh di Lik Lau’ mengetengahkan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan boria, persembahan kesenian dan pertandingan badang durian.
Selain itu, ia turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk Majlis Perasmian Penutup yang dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Mus May, Persembahan Bakat Cilik Angklung Adik Muhammad Ezechiel, Kumpulan Boria Tunas Bakti, Kumpulan Euphoria dan Guru Shri Arulmanikam Fine Arts (GSA DanceAcademy).
Turut mengadakan persembahan ialah Kumpulan Kesenian JKKN Pulau Pinang, Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSC) JKKN Pulau Pinang, Persatuan Peranakan Baba Nyonya, Persatuan Opera dan Teow Chew Puppet Pulau Pinang dan penyanyi tempatan, Haney Kaka.
Festival itu turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, demonstrasi masakan, jualan produk kraf dan makanan tradisi, jualan usahawan tempatan serta Jualan Rahmah.
Sementara itu, Mohd Radzi berkata, JKKN turut giat melaksanakan festival seni dan budaya di seluruh negara termasuk di Perlis, Perak, Kelantan dan akan ke Kedah serta Terengganu sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.
REAKSI
“Kami berharap program seperti ini diteruskan kerana ia bukan sahaja menghidupkan kembali seni dan budaya tempatan, malah mempereratkan hubungan antara komuniti.” - Naim Noor, 39.
“Melalui penganjuran FBP 2025, kami berpeluang melihat pelbagai keindahan budaya masyarakat berbilang bangsa sekali gus memupuk keharmonian masyakat kita.” - Nur Qaseh Umairah Muhd Firdaus, 14.