PETALING JAYA – Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) pada 24 Julai lalu, bagi membangunkan saluran bakat yang kukuh dan mampan untuk industri Elektrikal dan Elektronik (E&E) bernilai tinggi negara, dengan keutamaan diberikan kepada sektor semikonduktor yang kian berkembang.
Inisiatif di bawah naungan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) ini bukan sekadar satu pencapaian penting, tetapi juga pemangkin strategik dalam merealisasikan hasrat Malaysia untuk menjadi hab semikonduktor bertaraf global, sekali gus membentuk satu perkongsian strategik dalam pembangunan bakat di bawah kerangka Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim, dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Pencapaian bersejarah ini berlangsung sempena ulang tahun pertama NSS di Persidangan Semikonduktor ASEAN 2025.
ETSI yang diterajui oleh CREST merupakan inisiatif strategik untuk membangunkan bakat secara menyeluruh bagi ekosistem semikonduktor Malaysia.
Ia memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran pelajar, graduan, tenaga kerja semasa dan penyelidik dalam teknologi utama semikonduktor bagi memacu inovasi di samping melahirkan kumpulan bakat berkemahiran tinggi, seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap semikonduktor global.
Ia selaras dengan matlamat utama Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan secara khususnya NSS, yang menyasarkan pembangunan bakat yang bersedia untuk industri.
Sasaran NSS untuk melatih 60,000 jurutera semikonduktor menjelang 2030 akan menyokong pertumbuhan sektor ini melalui tenaga kerja masa depan yang kompeten, inovatif dan aktif dalam penyelidikan serta pembangunan (R&D) di Malaysia.
Menurut Tengku Zafrul, inisiatif berkenaan juga seiring dengan ASEAN Framework for Integrated Semiconductor Supply Chain (AFISS), salah satu keutamaan ekonomi utama di bawah Teras Ekonomi Malaysia semasa menjadi Pengerusi ASEAN.
Katanya, AFISS bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pekerja mendapatkan kemahiran, kemudahan dan pembiayaan yang diperlukan untuk maju dalam sektor berimpak tinggi ini.
“MITI bersama KESUMA kini sedang menggerakkan pelaksanaan dasar secara berkesan dengan melahirkan jurutera bertaraf dunia yang bersedia untuk menerajui inovasi, reka bentuk dan penciptaan nilai.
“Program CREST–HRD Corp ini bukan Sahaja dapat melahirkan lebih ramai jurutera dalam industri semikonduktor, tetapi juga memastikan Malaysia dan ASEAN dapat merebut peluang dalam sektor kritikal yang diunjurkan mencecah nilai global sebanyak USD2 trilion menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, Steven Sim pula berkata, bahawa KESUMA sentiasa percaya bahawa bakat merupakan enjin sebenar kepada transformasi ekonomi.
“Menerusi HRD Corp, KESUMA sedang mempergiatkan model latihan yang didorong oleh industri, berpandukan data dan berorientasikan hasil. Persaingan dalam sektor semikonduktor tidak lagi bergantung semata-mata kepada jumlah pelaburan atau bilangan kilang yang dibina, sebaliknya akan ditentukan oleh bakat yang kita bangunkan.
“Melalui kursus-kursus yang boleh dituntut di bawah HRD Corp serta latihan yang dipacu oleh majikan, kami membantu industri dalam usaha meningkatkan kemahiran jurutera tanpa beban kewangan.
“Selain itu, kami menggalakkan lebih banyak syarikat memainkan peranan aktif dalam membina saluran bakat kejuruteraan negara melalui skim latihan HRD Corp yang turut membolehkan majikan menuntut latihan untuk pelatih industri dan bakal pekerja,” tambah beliau.
Sebagai sokongan kepada usaha ini, Program ETSI turut mencerminkan komitmen bersama untuk mempercepat pembangunan bakat dalam rantaian nilai semikonduktor dengan memanfaatkan ekosistem levi HRD Corp.
Program ini merupakan strategi pembangunan bakat dengan pelbagai pendekatan yang disesuaikan dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri semikonduktor Malaysia.
Ia merangkumi usaha peningkatan kemahiran tenaga kerja sedia ada, memperkukuh kebolehpasaran graduan melalui kurikulum sejajar industri dan pendedahan teknikal awal serta mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan R&D melalui penglibatan pelajar pascasiswazah.
Usaha ini dirangka secara menyeluruh untuk mewujudkan saluran bakat yang mantap, holistik dan mampan bagi membina tenaga kerja yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan seterusnya meletakkan asas kepada kepimpinan jangka panjang Malaysia dalam bidang semikonduktor, teknologi tinggi (deep tech) dan pembuatan berteknologi tinggi (advanced manufacturing).
Manakala jelas Jaffri, ETSI juga memudahkan pemindahan teknologi serta perkongsian ilmu melalui Semiconductor Centre of Excellence (CoE) CREST yang menyediakan infrastruktur serta kemudahan latihan canggih bagi tujuan inovasi dan pembangunan.
“Bakat merupakan nadi kepada aspirasi semikonduktor Malaysia. Menerusi ETSI, kami memperkasakan pelajar, jurutera dan penyelidik dengan kemahiran masa depan serta akses kepada infrastruktur bertaraf dunia menerusi program pembangunan bakat dan CoE Semikonduktor kami.
“Bersama HRD Corp, kami memupuk pencipta perubahan sejak hari pertama – individu yang bakal merubah masa depan Malaysia dengan membina syarikat, mencipta harta intelek serta menjulang nama negara di peta semikonduktor dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Syed Alwi turut menegaskan bahawa pemeteraian MoU hari ini lebih daripada sekadar kerjasama.
“Di HRD Corp, kami percaya bahawa setiap kemajuan teknologi perlu diiringi dengan kemajuan bakat. Justeru, kami komited untuk terus memperkasa keupayaan industri semikonduktor negara merentasi masa lalu, masa kini dan masa depan melalui inisiatif strategik dan kerjasama berterusan bersama CREST.
“Kami menetapkan sasaran tinggi untuk meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera menjelang 2030, yang pastinya memerlukan koordinasi, kejelasan dan komitmen kepada rangka kerja pelaksanaan yang kukuh.
“Sehubungan itu, saya juga berbangga untuk mengumumkan bahawa HRD Corp turut menyediakan Industrial Skills Framework (IndSF) khusus untuk industri semikonduktor, satu panduan komprehensif yang membantu individu, perniagaan dan institusi pendidikan memahami landskap kemahiran dalam sektor ini,” katanya.
ETSI mencerminkan pendekatan penglibatan menyeluruh semua pemegang taruh Malaysia, dengan penyatuan kerajaan, industri, akademia dan institusi latihan untuk membangunkan keupayaan teknologi tinggi serta memastikan daya saing jangka panjang negara dalam sektor semikonduktor.
Dengan permintaan global terhadap semikonduktor yang semakin meningkat, kerjasama antara CREST dan HRD Corp ini bukan sahaja akan membolehkan Malaysia memenuhi keperluan tenaga kerja industri, tetapi juga mencipta aset harta intelek tempatan sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju rantau ini dalam industri semikonduktor serta meningkatkan peranan negara dalam rantaian nilai E&E global.