JAS Kedah ambil tindakan kilang sarung tangan lepas sisa air berbuih

Iklan
JAS Kedah mengambil tindakan tegas terhadap kilang sarung tangan getah di Kulim yang melepaskan air berbuih ke dalam longkang awam. Foto JAS

ALOR SETAR -  Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah telah mengambil tindakan terhadap sebuah kilang sarung tangan getah yang disyaki melepaskan air sisa berbuih di Kulim Hi-Tech Park pada Ahad.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menjalankan siasatan susulan aduan orang awam yang diterima berkaitan perkara itu semalam.

Iklan
Iklan

"JAS Kedah telah menggerakkan pasukan penyiasat pada hari yang sama ke kawasan yang diadu dan hasil siasatan mendapati sebuah kilang sarung tangan getah telah melepaskan air berbuih ke dalam sistem longkang awam.

"Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar tetapi juga berpotensi mengancam ekosistem air dan kesihatan awam. Sebagai tindakan segera, JAS telah melaksanakan penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, tindakan itu bertujuan menghentikan serta-merta aktiviti pencemaran yang dilakukan oleh kilang terbabit.

"Selain itu, satu kertas siasatan turut akan dibuka mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024) yang sekiranya disabit kesalahan, pihak kilang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM10 juta.

Iklan

"JAS Kedah tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk pencemaran alam sekitar. Orang awam yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 dan sistem e-aduan JAS iaitu eaduan.doe.gov.my," katanya. - Bernama