KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas satu pertuduhan memiliki 838 botol minyak wangi tiruan menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran tiga tahun lalu.
Muhammad Ahsan, 36, dan Saghir Shaheen, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan untuk tujuan perdagangan di sebuah premis di sebuah pusat beli-belah di sini pada jam 1.45 petang, 3 Ogos 2022.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Abyan Anwar mencadangkan agar setiap tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
“Ia termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar kadar jaminan itu dikurangkan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Mazuliana membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.