Konflik Thailand-Kemboja: Polis Kedah kukuhkan kawalan sempadan

Iklan
Ibrahim memakaikan lencana pangkat Komisioner Polis kepada Adzli dalam sebuah majlis di IPK Kedah pada Isnin.

ALOR SETAR – Polis Kedah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memperkukuhkan kawalan keselamatan di pintu masuk sempadan negara susulan konflik yang berlaku antara Thailand dan Kemboja.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, meskipun konflik berkenaan berlaku di sempadan Thailand–Kemboja yang agak jauh dari negeri ini, pihaknya tetap mengambil serius situasi berkenaan memandangkan Kedah merupakan antara negeri utama yang bersempadan dengan Thailand.

Iklan
Iklan

“Walaupun konflik itu berlaku jauh dari sempadan Kedah, kita tidak boleh alpa. Kita tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

“Dengan bantuan agensi seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang kini semakin agresif, kawalan sempadan akan terus diperketat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan dan langkah keselamatan yang diambil pihak berkuasa susulan konflik dua negara jiran berkenaan.

Terdahulu, Adzli hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah dan Pemakaian Lencana Pangkat di IPK Kedah.

Iklan

Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin turut menerima pemakaian lencana pangkat dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, Adzli menegaskan bahawa hala tuju utama beliau selaku Ketua Polis Kedah adalah meneruskan usaha memerangi masalah dadah, sebagaimana yang digariskan oleh bekas Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh sebelum ini.

“Selepas dua minggu saya menjalankan tugas, kami dapati hampir 50 peratus indeks jenayah di Kedah berpunca daripada kes-kes curi termasuk mencuri hasil tanaman seperti buah-buahan.

“Penjenayah utama dalam kes-kes ini adalah penagih dadah. Oleh itu, usaha membanteras dadah akan terus menjadi keutamaan,” katanya.

Menurut beliau, beberapa kejayaan telah dicapai di kawasan sempadan termasuk penahanan beberapa warga asing dari India yang terlibat dalam aktiviti haram.

“Kami juga sedang memperhebat pemantauan terhadap laluan-laluan tidak sah seperti jeti haram. Penjenayah mungkin cuba mencari laluan alternatif, tetapi kami akan pastikan tiada ruang untuk mereka melepasi sempadan.

“Kita tidak mahu sempadan negeri ini menjadi laluan keluar masuk aktiviti haram, khususnya penyeludupan dadah,” tegasnya.