BACHOK – Tradisi wayang kulit yang menjadi warisan seni rakyat Kelantan, kembali menyerlah dengan suntikan elemen moden menerusi persembahan kreatif golongan muda pada Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2025 yang berlangsung meriah di Pantai Irama di sini pada Sabtu.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, festival edisi kelapan itu memberikan penghormatan khusus kepada seni bayang dan naratif tradisi yang sudah sekian lama mengakar dalam budaya masyarakat Kelantan.
Menurutnya, tumpuan utama festival ialah persembahan gala bertajuk Baye atau bayang yang bertemakan ‘waye’ (wayang) dan menjadi medium untuk mempopularkan semula seni persembahan bayang menggunakan pendekatan moden.
“Baye sebenarnya merujuk kepada koreografi pentas yang diinspirasikan daripada persembahan wayang kulit, dan tahun ini ia menjadi tunjang utama kepada pengisian FKRK 2025.
“Kalau lihat persembahan utama malam gala itu, kami menggunakan skrin lut sinar dan pencahayaan khas bagi menghasilkan kesan siluet, sekali gus menyerlahkan gaya persembahan bayang moden berteraskan wayang kulit,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis penutupan FKRK 2025 di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, manakala malam kemuncak diserikan dengan persembahan artis tempatan seperti Emie Sukma Sari, Irfan Mutiara Biru, Pokyie Gasi dan Geng Tiga Beradik.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Mohd Amran berkata, festival empat hari yang dianjurkan oleh MOTAC melalui JKKN Kelantan bermula Rabu lalu itu berjaya menarik hampir 100,000 pengunjung dari seluruh negara.
“Lebih 50 reruai pameran dan aktiviti disediakan antaranya demonstrasi masakan tradisional, permainan rakyat serta persembahan pentas rakyat yang disusun secara tersusun sepanjang festival ini berlangsung,” katanya.
“Antara pertandingan yang mendapat sambutan ialah Kuca Suro 10 kawah, Dikir Barat Remaja, Musabaqah Azan, Pertandingan Biddah atau lastik serta aksi lincah Pertandingan Beruk Pulah Nyior yang mencuit hati penonton pelbagai lapisan,” katanya.
Beliau menjelaskan, penganjuran program itu selari dengan hasrat Malaysia Madani untuk melahirkan masyarakat yang berjiwa ihsan, peduli dan berkasih sayang yang meraikan kepelbagaian masyarakat di samping menghayati kepelbagaian dalam budaya negeri Kelantan.