ALOR SETAR – Fasa satu projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di Kawasan Muda dimulakan lebih awal daripada jadual asal.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, walaupun projek infrastruktur berkenaan dijadual bermula pada 1 Ogos, kontraktor telah memasuki tapak lebih awal bagi mempercepatkan pelaksanaan fasa pertamanya.
Menurutnya, perkara ini membuktikan komitmen tinggi kerajaan terhadap peningkatan keupayaan pesawah tempatan.
“Fasa satu projek ini melibatkan pelaburan bernilai RM1 bilion, sebagai sebahagian daripada keseluruhan projek berimpak tinggi bernilai RM5 bilion.
“Sepatutnya projek ini bermula pada bulan depan, namun kita terus mulakan apabila kontraktor sudah bersedia daripada segi teknikal. Ia juga sebagai komitmen menyahut saranan Perdana Menteri selain membantu peladang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke tapak projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun di Kawasan Muda, Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam.
Dalam lawatan tersebut, Anwar meminta kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertindak segera secara bersepadu bagi menjayakan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.
Beliau dilaporkan berkata, inisiatif ini penting untuk meningkatkan keupayaan pesawah tempatan selain memastikan hasil tuaian padi negara kekal mampan.
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan projek mega tersebut dijangka mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan sepenuhnya merangkumi dua fasa utama.
“Fasa pembinaan dijangka mengambil masa empat tahun, dengan purata tempoh berbeza mengikut saiz blok yang terlibat. Selepas itu, fasa penyelenggaraan selama enam tahun,” katanya.
Menurutnya, dua komponen utama dalam fasa satu melibatkan kerja-kerja baik pulih injak di Empangan Pedu yang telah lama mengalami kerosakan serta pembinaan 15 terusan tersier yang akan membawa bekalan air terus ke petak sawah.
“Sumber air utama projek ini disalurkan melalui sistem terusan sepanjang 90 kilometer dari Empangan Pedu, melalui sistem pengairan primer, sekunder dan akhirnya ke tersier,” jelasnya.
Tambah beliau, sebagai permulaan, pembangunan 15 blok tersier itu dimulakan di Blok 9A, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jerlun, Unit Padang Lalang yang dijangka membekalkan air kepada 560 hektar kawasan sawah.
“Keseluruhan sistem saliran dan komponen utama projek ini telah pun ditunjukkan kepada Perdana Menteri ketika lawatan beliau pada Jumaat. Ini menandakan bahawa pelaksanaan fasa satu telah pun bermula secara rasmi,” katanya.
Ismail berkata, projek ini melibatkan 15 blok tersier secara keseluruhan, merangkumi enam blok di Perlis (Wilayah 1) dan sembilan blok di Kedah, iaitu tujuh blok di Wilayah 2 serta masing-masing satu blok di Wilayah 3 dan Wilayah 4.