SHAH ALAM – Suasana meriah Karnival Siang Malam 2025 di Kompleks Karangkraf semakin hangat dengan kehadiran bas ikonik London yang menjadi tumpuan para pengunjung sepanjang acara berlangsung.
Bas merah dua tingkat yang sinonim dengan kota London itu menjadi latar bergambar popular dalam kalangan pengunjung, terutama keluarga dan anak muda.
Ramai mengambil peluang merakam foto dan video sebagai kenangan.
Pengunjung, Kogilavani Demono, 43, berkata, kehadiran bas tersebut sangat unik dan menarik.
"Kami merasai suasana seolah-olah berada di kota London. Mak dan tiga anak saya sangat teruja. Inilah kali pertama saya membawa anak-anak menaiki bas dan menyertai karnival seperti ini.
"Saya mendapat tahu mengenai Karnival Siang Malam ini daripada sepupu. Bila sampai dan lihat sendiri, wah sangat meriah, anak-anak pun dapat pengetahuan baharu," katanya.
Dalam pada itu, pelajar, Aina Julia Nadhirah Mohd berkata, peluang menaiki bas dua tingkat itu memberikan pengalaman berbeza kerana dapat melihat pemandangan keseluruhan karnival dari tingkat atas.
Aina Julia turut menyifatkan bayaran tiket RM2 sebagai berbaloi kerana pengalaman menaiki bas unik itu jarang didapati di tempat lain.
"Seronok dapat naik bas London ini. Dari atas, boleh nampak gelanggang bola keranjang dan semua aktiviti yang berlangsung di sekitar karnival.
"Bas seperti ini tidak pernah saya temui di karnival atau acara lain, jadi peluang ini memang berbaloi," katanya.
Sementara itu, pemandu bas berkenaan, Mohd Artib Afiq berkata, permintaan untuk menaiki bas tersebut pada hari Sabtu amat memberangsangkan dengan perjalanan bas sentiasa dipenuhi pengunjung dari pagi hingga malam.
Ujarnya, bayaran tiket serendah RM2 turut menarik lebih ramai pengunjung, terutama keluarga yang mahu menikmati pengalaman jarang ditemui ini.
"Ramai pengunjung teruja mahu mencuba pengalaman ini. Setiap perjalanan penuh, malah ada yang sanggup beratur panjang kerana mahu menikmati pemandangan karnival dari tingkat atas bas.
"Sebelum ini kami beroperasi di sekitar Setiawangsa, namun kini kerap menyertai pelbagai acara di seluruh Lembah Klang. Datanglah beramai-ramai ke Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 ini bagi merasai pengalaman menaiki bas London ini," katanya.
Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 berlangsung selama tiga hari hingga Ahad ini dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, menyajikan pelbagai program dan aktiviti menarik kepada orang ramai seperti rumah hantu, go-kart, Pasar Saloma, pertandingan melibatkan pelajar sekolah serta jualan buku yang menawarkan promosi istimewa.