Maxim dibenar terus beroperasi, tertakluk syarat APAD

Iklan
Maxim mengesahkan akan meneruskan operasinya di seluruh Malaysia selepas mendapat kelulusan APAD.

SHAH ALAM – Penyedia perkhidmatan e-hailing global, Maxim mengesahkan akan meneruskan operasinya di seluruh Malaysia selepas menerima keputusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh agensi berkenaan.

Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, pihaknya amat berterima kasih atas peluang untuk terus beroperasi di Malaysia dan berikrar akan memastikan penyediaan perkhidmatan yang bermanfaat, boleh diakses dan dipercayai, selaras dengan keperluan ditetapkan.

Iklan
Iklan

“Maxim kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan yang berterusan, mematuhi segala peraturan serta mengekalkan standard tertinggi.

“Ini merupakan langkah penting ke hadapan dalam usaha kami menyumbang kepada pembangunan sektor pengangkutan dan ekonomi digital Malaysia, dengan penekanan terhadap operasi yang bertanggungjawab serta penciptaan nilai jangka panjang kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau menambah, sebagai sebahagian daripada komitmen tersebut, Maxim telah memastikan semua pemandu aktif memiliki Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) yang sah serta berpeluang mendapatkan perlindungan insurans melalui rakan kongsi syarikat.

“Langkah ini mencerminkan dedikasi Maxim dalam menegakkan pematuhan undang-undang, meningkatkan kualiti perkhidmatan, dan mempromosikan persekitaran e-hailing yang selamat serta profesional di seluruh negara,” jelasnya.

Iklan

Menurut beliau, Maxim turut mengutamakan kebajikan dan keselamatan pemandu serta pelanggan.

“Syarikat menawarkan fleksibiliti kepada pemandu untuk memilih aktiviti ini sebagai pekerjaan sepenuh masa atau sambilan, sekali gus membuka peluang pendapatan kepada ribuan rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar dan kurang liputan,” ujarnya.

Selain itu, syarikat e-hailing tersebut turut melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk program berkaitan kebajikan awam dan kesedaran keselamatan jalan raya.

Ujarnya, syarikat itu juga melabur dalam penyelesaian mobiliti berasaskan teknologi pintar bagi meningkatkan akses, kecekapan dan kemampuan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.

“Usaha-usaha ini menyokong matlamat negara untuk memperkukuh inovasi, mewujudkan peluang pekerjaan digital dan menuju ke arah masa depan yang lebih inklusif serta saling berhubung,” katanya.

Maxim berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan APAD dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan persekitaran pengangkutan yang cekap, selamat serta boleh dipercayai oleh semua rakyat Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan APAD telah mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Perantaraan (LPP) terhadap dua syarikat e-hailing iaitu InDrive dan Maxim, yang sepatutnya berkuat kuasa pada 24 Julai ini.

Tindakan itu dibuat susulan audit yang mendapati kedua-dua syarikat gagal memastikan pemandu mereka memiliki EVP yang sah.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat telah membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan diarahkan melaksanakan langkah pembetulan sebelum tarikh kuat kuasa.

Pada Rabu, APAD memaklumkan InDrive dan Maxim diletakkan di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula Khamis, meskipun dibenarkan terus beroperasi di Malaysia.