SUNGAI BULOH - Seorang lelaki ditahan pada Khamis untuk membantu siasatan susulan kes melibatkan kanak-kanak yang maut dipercayai digigit anjing liar di kawasan Kampung Orang Asli Sungai Buloh pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, suspek ditahan merupakan bapa saudara kepada mangsa.
"Suspek berumur 19 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh kira-kira jam 11.50 pagi.
"Suspek ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati punca kematian adalah serangan serta gigitan anjing yang ganas.
"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian, bolehlah hadir ke mana-mana balai polis yang berdekatan atau menghubungi Hotline Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.
"Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tujuh bulan maut selepas dipercayai digigit beberapa ekor anjing liar di kawasan Kampung Orang Asli Sungai Buloh pada Selasa.
Insiden itu disedari oleh ibu bapa mangsa kira-kira jam 8.15 pagi ketika mereka pulang dari tempat kerja dan mendapati pintu rumah terbuka sebelum menemui mayat anak mereka dalam jarak kira-kira 20 meter dari kediaman.
Berdasarkan laporan polis dibuat bapa mangsa memaklumkan bahawa mayat anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing.